KUANTAN 9 Mac 2024. (FIKRAH PAHANG) Kerajaan Pahang akan terus memperkasakan Pengajian al-Quran seperti yang telah dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Beliau berkata Kerajaan Pahang sememang komited dalam pendidikan Quran dan sebanyak RM1 juta telah diperuntukan untuk menwujudkan kelas Quran Braille untuk orang kurang upaya (OKU) buta.
“Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkasakan dan mengembangkan lagi pengajian al-Quran dan bakal diwujudkan satu fakulti untuk al-Quran Hadis di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS). Manakala di bawah fakulti tersebut terdapat Jabatan Qiraat, Jabatan Tafsir dan Ulum dan Jabatan Istinbat dan Usul. Ini kerana Quran itu sendiri sumber kepada segala ilmu dan teras keperkasaan sesebuah ummah “. katanya di Majlis Penutup dan Penyampai Sijil dan Sanad Qiraah 138 pelajar Kelas Tahsin Quran dan Tajwid di Masjid UNIPSAS.
Oleh: Kabhi Ismail