JERANTUT: Memperkemaskan lagi kemudahan asas adalah antara 10 aspirasi calon Barisan Nasional (BN) DUN Damak, Fasal Jamlus jika beliau dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Selain itu, Fasal juga bercita-cita untuk memperkasakan lokasi rekreasi dengan mengadakan aktiviti tahunan sebagai tarikan pelancong ke Taman Negara, Kuala Tahan.
“Saya berhasrat menjadikan DUN Damak hub bekalan pertanian dan penternakan yang mengeluarkan produk seperti ayam pedaging, kambing dan lembu di samping memajukan industri penternakan ikan air tawar di kampung pesisir sungai.
“Selain itu, saya akan berusaha untuk membantu menyediakan latihan kepada anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan melalui sokongan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, untuk warga muda, beliau akan mengusahakan kemudahan sukan khususnya bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan e-sukan.
Selain itu, katanya, beliau ingin menjadikan DUN Damak sebagai hub Tahfiz Al-Quran di Pahang. – MUHAMMAD NAJMIE