10 penuntut MTNP dapat geran pengajian ke Mesir, Jordan 

10 penuntut MTNP dapat geran pengajian ke Mesir, Jordan 

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang (YP) meluluskan peruntukan RM100,000 kepada 10 penuntut lepasan diploma Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Mesir dan Jordan.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan ismail, berkata daripada jumlah itu, setiap penuntut menerima RM10,000.

“Geran bantuan menerusi YP ini diserahkan bagi menampung perbelanjaan persediaan, masing-masing lima penuntut akan melanjutkan pengajian dalam bidang Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Baki lima lagi penuntut akan mengikuti penjadian dalam bidang Fiqh Wa Usul di Universiti Mu’tah, Jordan.

“Saya juga difahamkan bahawa 10 penuntut ini sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan memperolehi kecemerlangan dalam Diploma Tahfiz dengan pangkat paling tertinggi iaitu Mumtaz. 

“Semoga dengan pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak huffaz yang lain untuk terus belajar bersungguh-sungguh dalam memburu kecemerlangan akademik masing-masing.

“Harapan saya kepada mereka, selepas puas menuntut ilmu di luar negara, kembalilah semula ke tanahair untuk menabur jasa dan bakti, semoga Allah mempermudahkan urusan pembelajaran mereka di sana,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN