KUANTAN: Kerajaan Pahang bangga dengan pencapaian 10 sekolah di Temerloh yang mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumum pada 16 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata walaupun diuji pandemik COVID-19 dan banjir, sekolah berkenaan mampu mencatat keputusan membanggakan.
“Sokongan warga pendidik yang berhempas pulas memastikan prestasi itu dicapai amat dihargai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sepuluh sekolah yang mencatat peningkatan GPS ialah Sekolah Menengah (SM) Integrasi, SM Kebangsaan (SMK) Dato Bahaman, SMK Sri Tualang, Madrasah Tarbiah Islamiah Chatin, SM Abu Bakar Temerloh, SMK Bukit Cermin, SMK Kerdau Temerloh, SMK Hwa Lian, SMK Paya Pulai dan Kolej Vok Puteri.
Syed Ibrahim berkata, terdapat 22 SM, 49 SK, dua Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang, sembilan SJK Tamil dan lapan SJK Cina di Temerloh.
“Temerloh juga memiliki sekurang-kurangnya 1,118 guru SM dan 1,640 SK,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN