Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Prihatin dengan nasib bekas pemain bola sepak Melayu Pahang yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 100 orang menerima bakul makanan di sini, kelmarin.
Sumbangan itu hasil inisiatif Koperasi Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Pahang Bhd dalam usaha membantu meringankan bebanan bekas pemain Melayu Pahang dan ahli koperasi itu.
Setiausahanya, Nazeri Hussain berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama diberikan Kelab Amal Puteri Kuantan, Persatuan Bolasepak Melayu Pahang dan individu yang turut sama menghulurkan sumbangan.
“Sumbangan ini membolehkan koperasi menyediakan 100 bakul makanan untuk diserahkan kepada bekas pemain bola sepak Melayu dan ahli koperasi.
“Bantuan ini diharap meringankan beban ketika negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Pada majlis itu, Pengerusi koperasi, Mohamed Hassan dan Pengerusi Kelab Amal Puteri Amal Kuantan, Fadwah Anuwar menyampaikan bantuan kepada 100 penerima.
Antara bekas pemain bola sepak Melayu Pahang yang hadir menerima bantuan diadakan secara pandu lalu ialah Yunus Alif, Tajuddin Nor, Ramli Mahmud, Wan Zulkifli Wan Abdullah, Osaimi Abd Jalil, Fadirul Kassim, Norkhizan Surip dan Azizul Kamaluddin.
Pada masa sama, Nazeri berkata, pihaknya turut membuka bank makanan di pejabat Persatuan Bolasepak Melayu Pahang yang dijangka beroperasi mulai esok.
“Bank makanan ini dibuka dari jam 11 pagi hingga 3 petang setiap hari yang dikhaskan kepada bekas pemain dan ahli yang terkesan,” katanya.