KUANTAN: Masa terluang digunakan sebaik-baiknya 100 sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan membantu menyediakan juadah berbuka puasa untuk golongan memerlukan di daerah ini.
Sejak awal Ramadan mereka membantu Dapur Infaq Ummah menyediakan 700 juadah setiap hari di pusat operasi pertubuhan berkenaan terletak di Indera Mahkota, di sini.
Bagi Maizatul Mamat, 30, setiap hari lima sukarelawan akan terbabit membantu menyediakan juadah berbuka puasa sebagai aktiviti sukarela yang secara tidak langsung dapat menambah pahala Ramadan.
Menurutnya, bantuan tenaga diberikan selama beberapa jam adalah ikhlas dan aktiviti secara gotong-royong itu menjadi lebih seronok apabila dilakukan dalam suasana ceria dan mesra.
“Kami bertugas bersama sekurang-kurangnya 10 sukarelawan setiap hari yang turut disertai ahli Dapur Infaq Ummah yang berpengalaman luas dalam penyediaan pelbagai jenis makanan.
“Saya berpuas hati dan seronok dapat membantu dalam aktiviti kebajikan di daerah ini,” katanya yang gembira mendapat pengalaman baharu.
Rakannya, Syakira Munirah Saifuddin, 24, berkata dia berasa bertuah apabila berpeluang memberikan bantuan tenaga dalam menyediakan makanan kepada golongan memerlukan.
“Ini kali pertama saya terbabit dalam aktiviti sukarelawan bagi menyediakan makanan, walaupun agak panas berada di dapur namun ia merupakan suatu pengorbanan untuk insan memerlukan.
“Saya akan terus terbabit dengan aktiviti sukarelawan dengan Dapur Infaq Ummah sekiranya diberi peluang,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD