100 unit lagi Projek Rumah Rakyat  Pahang dibina tahun depan.

100 unit lagi Projek Rumah Rakyat Pahang dibina tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, oleh kerana projek RRP ini didapati amat baik demi kesejahteraan penduduk yang memerlukan rumah, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskannya program ini tahun depan.

Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com

KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang akan meneruskan Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) pada tahun hadapan dengan pembinaan 100 unit rumah lagi untuk diagihkan secara percuma kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau rumah sedia ada berkeadaan daif dan tidak selamat diduduki.
Jumlah itu adalah tambahan kepada 98 unit RRP yang dibina di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Pahang pada tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, oleh kerana projek RRP ini didapati amat baik demi kesejahteraan penduduk yang memerlukan rumah, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskannya program ini tahun depan.
Katanya, usaha ini adalah selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Pahang pada 16 November lalu.
Katanya, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM6.37 juta untuk membina sebanyak 98 unit rumah RRP dan RM6.5 juta lagi diperuntukkan pada tahun hadapan bagi membina 100 unit rumah RRP.
Beliau berkata, pecahan kelulusan adalah mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Negeri iaitu setiap kawasan Parlimen mendapat satu unit RRP dan setiap kawasan DUN memperolehi dua unit.
Katanya, sumber kewangan bagi pembinaan RRP yang berharga RM65,000 seunit disediakan daripada dana Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) sebanyak RM55,000 dan sumbangan kerajaan negeri RM10,000
“RRP adalah tambahan kepada beberapa projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang sebelum ini, di mana PR1MA Pahang bermula dengan projek pembinaan rumah berkembar setingkat, bernilai RM150,000 sebuah.
“Kemudian kerajaan negeri membina rumah teres setingkat dikenali ‘Rumah Makmur’ bernilai RM80,000 sebuah,” katanya.
Beliau berkata, nilai bagi kedua-duanya masih murah, malah 50 peratus lebih rendah berbanding harga jualan di pasaran dan kedua-dua jenis rumah ini dijual kepada rakyat yang layak, yang memenuhi beberapa kriteria ditetapkan.
Wan Rosdy berkata demikian selepas menyerahkan dua buah rumah bagi DUN Jelai di Kampung Keledek dan Kampung Kuala Serau
dan dua buah lagi bagi DUN Tanah Rata di Kampung Menson dan Kampung Kuala Boh serta sebuah bagi Parlimen Cameron Highlands di Kampung Terakit hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, ADUN Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, ADUN Batu Talam, Dato’ Abdul Aziz Kiram, ADUN Cheka, Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Dato Mohd Hafizi Ibrahim.
Menteri Besar berkata, dengan siapnya lima buah rumah RRP serta penyerahan kuncinya hari ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Ini membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja membuat dasar tentang pewujudan RRP malah memastikan ia benar-benar terlaksana dalam tempoh sesegera boleh,” katanya.