101 guru agama terima bantuan untuk melanjutkan pelajaran

101 guru agama terima bantuan untuk melanjutkan pelajaran

Oleh Mohd Imran Izzad fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menghulurkan sumbangan khas RM303,000 bagi membantu 101 guru sekolah agama di negeri ini yang akan menyambung pengajian dalam Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP). Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata penerima adalah guru yang sedang mengajar di sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah agama majlis.

Menurutnya, guru dari sekolah persendirian termasuk swasta, guru al-Quran asrama dan guru Maahad Tahfiz turut layak menerima bantuan pendidikan berkenaan. “Setiap mereka menerima bantuan RM3,000 tunai. MUIP berharap sumbangan itu dapat menambahkan lagi semangat mereka untuk terus menuntut ilmu,” katanya.

PEKAN..Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Husain menyerahkan replika sumbangan khas MUIP kepada wakil guru Muhammad Yusri Syafiq Md Yusof.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Husain, di Pejabat Pengurusan dan Pembangunan Harta MUIP, di sini, kelmarin.

Hadir sama wakil penerima, Muhammad Yusri Syafiq Md Yusof. Muhammad Yusri Syafiq, berkata dia bagi pihak rakannya yang lain amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada MUIP dan Kerajaan Pahang yang begitu prihatin dengan golongan guru di negeri ini. “Bantuan RM3,000 yang diterima setiap guru dapat meringankan beban terutama di peringkat awal seperti kos yuran pendaftaran,” katanya.