PEKAN: Kerajaan Pahang akan membina sebuah sekolah menengah agama negeri (SMAN) bersepadu dan moden di Jalan Sungai Lembing, Kuantan, tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata sekolah itu akan dibina di atas tanah yang dihadiahkan kerajaan negeri kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“Tujuan untuk membina sekolah agama baharu ini bukanlah kerana kita nak sekolah banyak, tetapi kita tengok di SMA Al-Ihsan (di Tanjung Api, Kuantan) dah terlalu penuh, tempatnya dah terlalu tepu dan keadaanya dah tidak selesa.
“Jadi disebabkan kita (JAIP) ada tanah dan ada peruntukan, saya cadangkan kepada YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) untuk bina sekolah agama baharu bersepadu dan moden serta dapat memberi keselesaan kepada pelajar,” katanya kepada Fikrah Pahang selepas Majlis Sambutan Hari Guru dan Aidilfitri SMAN Pahang 2022 di SMA Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JAIP, Dato’ Zakaria Mohamed dan Pengetua SMATAF, Shaikhan Mokhtar.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, pihaknya dan JAIP kini dalam peringkat menyediakan kertas kerja bagi pembinaan sekolah agama baharu itu sebelum ia dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Secara dasarnya YAB Menteri Besar dah bersetuju dan sekarang ini kita sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN