11 atlet Pahang terima insentif kemenangan Sukan Sea Vietnam

11 atlet Pahang terima insentif kemenangan Sukan Sea Vietnam

ATLET olahraga negara, Nor Sarah Adi menjadi penerima terbanyak insentif kemenangan atlet Pahang apabila ‘mengaut’ wang tunai RM6,000 selepas meraih pingat emas dan gangsa pada saingan Sukan Sea Vietnam 2021, bulan lalu.

Atlet kelahiran Maran itu meraih pingat emas dalam acara lompat bergalah dan gangsa menerusi 4×100 meter.

Majlis penyampaian insentif kemenangan atlet Pahang itu disempurnakan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan.

Mohd Johari berkata, seramai 36 atlet kelahiran Pahang terpilih mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan Sea Vietnam 2021 membabitkan sembilan acara.

“Seramai 11 atlet Pahang berjaya membawa pulang tiga emas, satu perak dan enam gangsa. Pingat emas disumbang oleh Nor Sarah, Koi Sie Yan (gimrama) dan Mohd Taqiyuddin Hamid (silat).

“Setiap atlet menerima antara RM1,000 hingga RM6,000 mengikut warna pingat yang diraih,” katanya yang berharap lebih ramai lagi atlet Pahang mewakili negara di pentas antarabangsa selepas ini. – MOHD IMRAN IZZAD.