KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang memperkenalkan program latihan khas untuk graduan anak Pahang dikenali Pahang Talent.
Graduan terpilih mengikuti program itu akan menjalani latihan selama 12 bulan bagi menimba ilmu dan pengalaman serta pendedahan industri secara langsung di bawah bimbingan barisan EXCO Kerajaan Pahang dan Menteri Besar sendiri.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setiap peserta terpilih juga akan diberikan insentif bulanan sebanyak RM2,500.
“Menerusi program yang julung kali diadakan ini, seramai 12 calon daripada 400 graduan SESI 2021/2022 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA terpilih untuk menjalani program ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pahang Talent di Bilik Kunjung Hormat, Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 12 calon yang terpilih itu, dikehendaki mengharungi beberapa fasa saringan dan pemilihan sejak April lalu.
“Mereka perlu melepasi tiga peringkat saringan iaitu Ujian Profil Psikologi dan DNA Yayasan Pahang.
“Selain itu, peserta dinilai menerusi Program Penilaian Simulasi (Mengenal pasti Decision Making Skills, Event Management Skills, Critical Thinking Skills dan Interpersonal Skills); serta proses temuduga,” katanya.
Wan Rosdy berkata, selepas tamat latihan industri selama 12 bulan, graduan terbabit berpeluang diserapkan bekerja dengan agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan Kerajaan Pahang berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan.
“Saya berharap setiap calon terpilih ini memanfaatkan peluang dan ruang melalui program ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing, seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik
kepada kerajaan negeri dan rakyat.
“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan supaya lebih ramai lagi generasi pelapis yang berketerampilan dapat dilahirkan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak Pahang,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN