KUANTAN: Sekurang-kurangnya 250 asnaf dan gelandangan serta anak mereka diraikan dalam program berbuka puasa di Villa Ranting, Jalan Besar, di sini.
Pada program berkenaan kanak-kanak turut diberikan duit raya dan hadiah alat tulis.
Pengerusi penganjur, Mohamad Yusnizam Mohd Yusof, berkata pihaknya dan Pondok Ngaji mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan di Pahang bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat itu.
“Selain dana khas Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares), sumbangan turut diterima daripada pelbagai pihak lain yang prihatin dengan nasib golongan asnaf dan gelandangan serta anak mereka.
“Sumbangan duit raya disampaikan oleh Pengerusi ECJ Cares, Jazli Izzuddin Jamaludin yang turut sama meraikan tetamu pada majlis berbuka puasa,” katanya yang turut mendapat kerjasama Dapur Infaq Ummah yang menyediakan makanan.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin. – MOHD IMRAN IZZAD