MUADZAM SHAH : Seratus dua puluh Orang Asli di daerah ini menjadi kumpulan pertama di Pahang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, hari ini.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, antara individu terbabit adalah petugas barisan hadapan yang membantu JAKOA dalam pelbagai program Orang Asli.
“Sekurang-kurangnya 54,000 Orang Asli layak menerima vaksin Covid-19 di Pahang dan kini hanya kira-kira 2,000 masih belum divaksinasi.
“JAKOA akan terus berusaha membantu masyarakat Orang Asli di negeri ini mendapatkan dos penggalak yang diberikan secara berperingkat,” katanya dalam program vaksinasi dos penggalak di Pejabat JAKOA Muadzam Shah.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim dan Pengerusi JAKOA Pahang Volunteer Team (JPVT), Zahar Tan.
Johari berkata, JAKOA akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengadakan program pemberian dos penggalak secara berkumpulan di penempatan Orang Asli seperti sebelum ini. – MOHD IMRAN IZZAD