120 sukarelawan Pahang sertai misi bantuan mangsa banjir di Baling

120 sukarelawan Pahang sertai misi bantuan mangsa banjir di Baling

KUANTAN: Pahang menghantar seramai 120 sukarelawan untuk menjalankan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Rombongan yang terdiri daripada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Pejabat Setiausaha Kerajaan dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Bulan Sabit Merah serta Skuad Bencana Pahang, dilepaskan pada sesi ‘flag-off’ di Wisma Sri Pahang, di sini, jam 12 tengah malam tadi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan ‘flag-off’ bersama  120 sukarelawan untuk menjalankan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah. Gambar Fikrah Pahang oleh Kamal Ismail

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau agak terkejut, namun pada masa sama kagum kerana keputusan untuk menghantar bantuan itu dilakukan dalam masa singkat.

“Kita hanya putuskan untuk menghantar bantuan ini pagi tadi (semalam) dan awalnya saya menyangkakan hanya sekitar 50 hingga 60 sahaja sukarelawan yang terbabit.

“Tapi nampaknya yang datang lebih daripada 100.  Bantuan ini adalah sebagai menghargai sokongan Kerajaan Kedah yang menghantar pasukan bantuan ke sini ketika Pahang dilanda banjir akhir tahun lalu,” katanya.

Sukarelawan Pahang yang baru tiba di Pusat Operasi Jalan Kupang, Baling bagi  menjalankan misi kemanusiaan membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Beliau berkata demikian selepas sesi flag off dan pelepasan rombongan sukarelawan berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau berharap, misi bantuan itu akan dapat disempurnakan sebelum sambutan Aidiladha, Ahad ini.

“Kalau boleh, biarlah mangsa banjir terbabit sempat beraya (Aidiladha) dengan keadaan rumah yang bersih dan teratur,” katanya. – KAMAL ARIFFIN ISMAIL