12,005 mangsa banjir masih berada di 89 PPS

12,005 mangsa banjir masih berada di 89 PPS

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 12,005 mangsa banjir daripada 3,789 keluarga masih berada di 89 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di Pahang, pagi ini. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam yang merekodkan 16,579 mangsa daripada 5,073 keluarga di 119 PPS.

Katanya, enam daerah terbabit adalah Bentong, Temerloh, Bera, Pekan, Kuantan dan Maran. 

“Sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Kuantan-Segamat, di Pekan; Jalan Southern Loop, di Bentong dan Jalan Kuala Lipis- Jerantut, di Jerantut.

“Turut ditutup, Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, di Maran; Jalan Ulu Dong, di Raub; Jalan Temerloh–Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh; Jalan Sungai Lembing, Kuantan dan Jalan Bentong-Gua Musang, Lipis,” katanya.

Menurutnya, 20 kes kematian akibat banjir direkodkan di Pahang dengan 11 di Bentong, Temerloh (empat), masing-masing dua di Kuantan dan Raub serta satu lagi di Pekan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN