13.4 juta benih ikan, udang galah dilepaskan di Pahang

13.4 juta benih ikan, udang galah dilepaskan di Pahang

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 13.4 juta benih pelbagai spesies ikan dan udang galah ke perairan umum sepanjang 12 tahun sejak 2010.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, selain beberapa sungai utama seperti Sungai Pahang, di Pekan, Sungai Jelai (Lipis) dan Sungai Belat (Kuantan), aktiviti pelepasan turut dilakukan di tasik semulajadi.

Menurutnya, aktiviti pelepasan benih ikan dan udang galah dilakukan dalam usaha untuk memperkayakan sumber perikanan sungai seterusnya menambahkan lagi pendapatan nelayan darat. 

Katanya, program berkenaan juga dapat menggalakkan kegiatan memancing sebagai aktiviti rekreasi yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

“Jabatan berharap nelayan darat dan masyarakat setempat dapat memanfaatkan kekayaan sumber perikanan secara bertanggungjawab dengan elak menggunakan peralatan yang merosakkan sumber seperti penggunaan racun, tuba, bahan letupan dan arus elektrik. 

“Penggunaan peralatan dan bahan larangan berkenaan adalah kesalahan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) Pahang 1991,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan 26,600 benih ikan Lampam Sungai dan Baung di perairan Pasir Puteri Sungai Lembing, di sini, yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Sohaimi Mohamed Shah, semalam.

Turut diadakan penyerahan bantuan 16,000 benih Tilapia kepada lapan penternak di kawasan Sungai Lembing yang terjejas kerana banjir. – MOHD IMRAN IZZAD