133 penuntut Kolej Vokasional Kuantan terima diploma

133 penuntut Kolej Vokasional Kuantan terima diploma

KUANTAN: Seramai 133 graduan menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kuantan kali ke-6 yang diadakan pada 22 dan 23 Februari.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Johari Hussain menyampaikan diploma kepada penerima pada sidang satu. 

Berucap pada majlis itu, Johari berkata, pihak kolej perlu menyiapkan penuntut supaya mempunyai kemahiran diperlukan dalam sektor pekerjaan terutama berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). 

“Kita boleh lihat kini, seluruh dunia berada di ambang IR 4.0, iaitu industri digital yang membabitkan robot automasi dan analisis data besar dalam pelaksanaan tugas seharian.

“Jadi setiap graduan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kepakaran agar dapat bersaing dengan graduan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) bagi mendepani cabaran IR 4.0 ini.

“Saya yakin Kolej Vokasional Kuantan juga mampu dalam membantu negara untuk memperkasakan modal insan sebagai persiapan ke arah IR 4.0 ini dan tenaga pengajar Kolej Vokasional Kuantan, saya percaya sudah berusaha mempersiapkan pelajarnya dengan pelbagai cabang ilmu bagi mendepani cabaran masa depan yang dilihat bakal menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Pada majlis sama, seramai lapan graduan dinobatkan penuntut terbaik dalam program diikuti masing-masing.

Meraka ialah Adriena Masturah Shamsul Hamran yang mengikuti pengajian Diploma Perakaunan, Nur Ellyana Syaheera Razafizi (Diploma Pengurusan Perniagaan), Mohamad Syahiran Mahmood (Diploma Teknologi Elektrik), Muhammad Alif Sohaime (Diploma Teknologi Elektronik), Hazri Khaizan (Diploma Teknologi Automotif), Muhammad Nazmir Nazrick Mohd Nazar (Diploma Teknologi Kimpalan), Muhammad Fauzan Syazwan Azlan (Diploma Teknologi Pemesinen Industri) dan Rezzaidah Zainal Abidin (Diploma Teknologi Pembinaan).