139 rumah dapat sumber air alternatif

139 rumah dapat sumber air alternatif

JERANTUT:  Lebih enam ratus penduduk di lima kampung di daerah ini lega apabila masalah bekalan air yang menghantui mereka selama ini  selesai apabila Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan Projek Wakaf Air. 

Projek itu dilaksanakan di Kampung Batu Balak, di Kuala Tembeling, Kampung Tanah Pindah (Hulu Tembeling), Kampung Belukar (Damak) di samping Jalan Temalian dan Jalan Jengkuar (Felda Sungai Retang). 

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek sumber air alternatif itu menelan kos RM248,175 dan memberi manfaat kepada 139 rumah. 

Tuan Ibrahim berkata, Tabung Wakaf Air yang dilancarkan pada 17 Disember 2020  adalah inisiatif KASA melalui kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang bertujuan menyediakan sumber pembiayaan projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mapan melalui instrumen wakaf. 

“Wakaf Air adalah skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

“Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam  

usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan, 

melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan ” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE