14 remaja OKU terima suntikan dos kedua

14 remaja OKU terima suntikan dos kedua

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Empat belas remaja orang kurang upaya (OKU) cerebral palsy berusia di antara 13 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang dekat Kampung Tiram, di sini, semalam.

Program tiga jam itu hasil inisiatif PDK Kompleks Penyayang bersama badan bukan kerajaan (NGO) Mercy Malaysia cawangan Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi PDK Kompleks Penyayang, Syahira Yahya berkata, 14 remaja itu adalah antara 42 pelatih di PDK itu dengan kira-kira separuh daripada jumlah itu sudah lengkap divaksin.

“Syarat pengoperasian semula PDK adalah pelatih dan kakitangan perlu lengkap divaksin dan kami mensasarkan kesemua pelatih yang layak menerima vaksin akan lengkap menerimanya sebelum penghujung tahun ini.

“Program vaksinasi secara pandu lalu itu dapat memudahkan ibu bapa dan penjaga memandangkan keadaan anak mereka yang tidak dapat berjalan dan menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di program terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Mercy Malaysia Pahang, Yanti Mohd Yasin berkata, pihaknya membantu dalam pelaksanaan program ‘outreach’ untuk memberikan suntikan vaksin kepada golongan istimewa.

“Setakat ini kami sudah membantu kira-kira 3,000 golongan OKU, warga emas dan pesakit kronik menerima vaksin menerusi program outreach di seluruh daerah ini dan Jerantut,” katanya.