KUANTAN: Seratus empat puluh guru Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Pintar al-Quran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) terpilih menyertai bengkel seminggu pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini, pada 3 Mei lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bengkel bertujuan memperkasa kualiti pengajaran guru dalam pengajaran dalam bilik darjah dan merangsang kemahiran murid di peringkat prasekolah.
Menurutnya, peserta didedahkan dengan teknik yang boleh dipelbagaikan dalam sesi pembelajaran serta lebih berkesan dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Peserta terdiri daripada guru akademik dan al-Quran yang membimbing kira-kira 900 murid di 16 premis Tadika Pintar Al-Quran MUIP di Pahang,” katanya.
Majlis penutup bengkel berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin. – MOHD IMRAN IZZAD