140 pangkalan hadapan siap bantu mangsa bah

140 pangkalan hadapan siap bantu mangsa bah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediakan 140 pangkalan hadapan di negeri ini bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pejabat penghulu, masjid, dewan serbaguna dan balai raya antara tempat dijadikan stor bekalan pangkalan hadapan.

Menurutnya, 34 pangkalan hadapan disediakan di Temerloh diikuti Kuantan (18), Jerantut (16), Pekan (14), Rompin (12), Lipis (12), Maran (11), Bera (11), Raub (10) dan Bentong (2).

Katanya, setiap pangkalan hadapan menempatkan antara lapan hingga sembilan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, biskut, sardin dan kopi yang mampu bertahan di antara 10 dan 14 hari.

“Proses menghantar bekalan ke setiap pangkalan hadapan di Pahang sebagai persediaan tengkujuh bermula 29 Oktober dan akan berakhir 18 November ini,” katanya.