150 sukarelawan dilatih berdepan cabaran tugas ketika banjir

150 sukarelawan dilatih berdepan cabaran tugas ketika banjir

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 150 sukarelawan menyertai simulasi menguruskan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Simulasi anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang itu diadakan di perkarangan Depoh Simpanan Keperluan Bencana Pahang (DSKB), di sini, 13 Ogos lalu.

Pengarah JKM Pahang, Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin berkata simulasi itu penting bagi memberi pendedahan kepada sukarelawan yang akan bertugas di setiap PPS seluruh negeri ini.

Menurutnya, simulasi bermula dengan pendaftaran mangsa yang tiba di PPS diikuti penyediaan khemah tempat tinggal, penyediaan makanan, rawatan dan aktiviti permainan untuk kanak-kanak.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan simulasi yang diadakan dan kebanyakan sukarelawan berpendapat latihan yang diadakan dapat menambahkan pengalaman mereka.

“Kebanyakan sukarelawan yang berdaftar dengan JKM sebelum ini telah beberapa kali terbabit dengan tugas membantu mangsa banjir di PPS,” katanya.

Beliau berkata, sukarelawan menjadi tulang belakang kepada JKM Pahang dalam memberi bantuan tanpa mengira waktu dan tempat. – MOHD IMRAN IZZAD