JERANTUT: Sekurang-kurangnya 1,500 peserta mendaki bukit di seluruh Pahang secara serentak di 13 lokasi dalam acara Pahang Hiking Day anjuran Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang bersama Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Pahang, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pelancaran Pahang Hiking Day lebih bermakna dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, baginda mencemar dulu untuk turut bersama-sama mendaki Bukit Merah setinggi 371 meter, di Jerantut, yang turut disertai kira-kira 100 pendaki.
“Baginda kemudian berkenan merasmikan tugu papan ‘I love Bukit Merah’ sebagai satu gimik perasmian Pahang Hiking Day 2022.
“Baginda turut meluangkan masa kira-kira 20 minit menikmati keindahan puncak bukit, termasuk melihat sendiri keunikan suasana dikelilingi pokok Kelat Gelam dan hamparan lantai hutan yang kemerh-merahan,” katanya.
Katanya, selain Bukit Merah, dataran tinggi lain menjadi lokasi pendakian ialah Taman Eko-Rimba Parit Fall, di Cameron Highlands, Bukit Peninjau (Lipis) Bukit Kolam (Raub), Bukit DO (Bentong) dan Bukit Woh (Temerloh).
Selain itu, katanya, lokasi lain ialah Bukit Kertau di Maran, Bukit Senorang (Bera), Bukit Pelindung (Kuantan), Bukit Tanjung Batu (Pekan), Bukit Ridan (Rompin) dan Gunung Nenek Semukut (Pulau Tioman).
Beliau berkata, acara itu adalah pendakian santai yang bertujuan mempromosikan bukit yang terdapat di seluruh Pahang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Pahang mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki. – MUHAMMAD NAJMIE