Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Penyerang import dari Argentina, Sergio Aguero yang menyarung jersi Sri Pahang musim ini bakal dipinjamkan ke pasukan lain.
Difahamkan, keputusan itu dilakukan Sri Pahang kerana mahu membawa masuk penyerang import baharu dalam memperkasakan pasukan itu terutama di bahagian serangan.
Ketika ini, urusan pinjaman membabitkan Aguero sedang dilakukan dengan sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Menurut sumber Sri Pahang FC, pasukan itu memutuskan Aguero akan dipinjamkan ke pasukan lain kerana hanya lima kuota import dibenarkan.
“Bagi memastikan seorang pemain import baharu disenaraikan, Sri Pahang memilih Aguero (untuk dipinjamkan kepada kelab lain).
“Sebaik segala urusan pinjaman selesai, Sri Pahang akan mengumumkan pemain import baharu berkenaan,” katanya.
Difahamkan, penyerang kelahiran Ukraine, Yevhen Bokhashvili bakal mengisi tempat Aguero.
Berdasarkan rekod, penyerang berumur 28 tahun itu bermain dengan PSS Sleman yang beraksi dalam Liga Satu Indonesia.