17 pendaki ditahan panjat Gunung Nuang tanpa permit 

17 pendaki ditahan panjat Gunung Nuang tanpa permit 

BENTONG: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong menahan 17 individu yang melakukan aktiviti mendaki Gunung Nuang dalam Hutan Simpan Lentang, di sini, tanpa permit memasuki hutan simpan, semalam.

Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya berkata, kumpulan terbabit terdiri daripada lima perempuan dan 12 lelaki berumur di antara 25 dan 52 tahun serta datang dari Selangor.

Menurutnya, mereka memberi alasan tidak tahu keperluan untuk memohon permit untuk memasuki hutan simpan.

“Beberapa individu daripada kumpulan itu mendakwa mereka pernah memohon permit untuk masuk ke hutan simpan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Mereka mendakwa ini kali pertama mereka mendaki Gunung Nuang,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan kumpulan terbabit, melaporkan kesalahan itu di Balai Polis Daerah Bentong sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Muhamat Azman berkata, individu yang memasuki hutan simpan tanpa permit di Pahang boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara (APN) 1984. 

Katanya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.- MOHD IMRAN IZZAD