171 Kampung Asli tersenarai bawah projek infrastruktur komunikasi

171 Kampung Asli tersenarai bawah projek infrastruktur komunikasi

KUANTAN 12 Mei 2023 (Fikrah Pahang ) Sebanyak 171 Kampung Orang Asli (KOA) telah disenaraikan di bawah projek infrastruktur komunikasi yang sedang dijalankan manakala 160 lagi KOA akan dimasukkan dalam perancangan projek akan datang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata , baki KOA yang tidak termasuk dalam perancangan awal dan mengalami masalah perkhidmatan internet akan diberi perhatian dalam perancangan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka bermula pada suku pertama 2023.

Katanya, “Kita (Kerajaan Negeri) sangat menitik berat tentang pembangunan perkampungan masyarakat Orang Asli dan baru-baru ini dalam bulan Ramadan, saya sendiri telah melawat kampung Sungai Penjuring, Bentong yang baru sahaja dibekalkan sistem solar bagi menerangi dan menyediakan sambungan elektrik.”

“Namun demikian Kerajaan Negeri melalui agensi-agensinya sama ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, SKMM sedang berusaha kearah memajukan perkampung Orang Asli” .

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata (PH), Ho Chi Yang di Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Jelasnya lagi, ” kelulusan penyukatan perimeter tanah perkampungan orang asli telah dilaksana semenjak dahulu lagi. Perlaksanaannya dijalankan secara berperingkat berikutan bentuk muka bumi yang berbukit bukau. Tahun 2023 ini pihak JAKOA telah membuat permohonan bagi 11 buah kampung lagi untuk penyukatan perimeter tanah termasuk dua kampung di Mukim Jenderak”.

Oleh: Kabhi Ismail