KUANTAN: Sejumlah RM176,000 diperuntukan kepada murid Tahun 1 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2002.
Peruntukan itu membabitkan 1,760 murid, masing-masing menerima RM100 bagi membantu membeli peralatan persekolahan.
Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata inisiatif BPP itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi masyarakat setempat.
“Diharapkan bantuan ini bukan sahaja menceriakan murid yang baru memasuki alam persekolahan tetapi dapat meringan beban ibu bapa,” katanya pada majlis penyerahan di Dewan Orang Ramai Balok, di sini.
Di Pahang, sekurang-kurangnya 25,146 murid Tahun Satu di negeri ini menerima RM100 tunai.
Tiada permohonan perlu dilakukan ibu bapa kerana semua murid Tahun Satu di Pahang layak menerima RM100 dan data murid diambil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN