18 ‘base jumpers’, 65 terjunan, 30 Ogos, Kuantan 188 

18 ‘base jumpers’, 65 terjunan, 30 Ogos, Kuantan 188 

KUANTAN: Lapan belas penerjun akan melakukan 65 terjunan pada ketinggian 104 meter menara Kuantan 188 sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65, pada 30 Ogos ini. 

Pengarah Urusan Kuantan 188, Dato’ Zulkifli Mohamad, berkata terjunan secara bergilir-gilir itu akan bermula pada 9.30 malam hingga 12 tengah malam.

Katanya, penerjun akan membawa Jalur Gemilang, bendera Pahang dan bendera Kuantan 188, sebagai simbolik 65 tahun kemerdekaan Malaysia.

“Acara ini juga bagi menyuntik semangat patriotik dan cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Zulkifli berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Kuantan 188 International Extreme Challenge (KIEC) dan Pesta Kuantan 188 di Kuantan 188 di sini, hari ini.

Majlis perasmian KIEC disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ti Lian Ker. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.

KIEC bakal menyaksikan penyertaan penerjun dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura dan bermula esok sehingga 4 September depan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN