KUANTAN: Kegembiraan jelas terpancar di wajah lebih dua ratus penduduk Taman Sri Inderapura apabila turut sama menyertai ibadah korban sempena Aidiladha, di sini, hari ini.
Lapan belas lembu dikorbankan di Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI) berbanding 15 tahun sebelum ini.
Pengerusi MITSI, Ideris Abu Bakar berkata, sambutan terhadap program korban sempena Aidiladha 1443 Hijrah begitu menggalakan daripada penduduk setempat dan mereka dari luar kawasan taman perumahan itu.
“Tiga khidmat penyembelih digunakan untuk menyembelih kesemua lembu itu dalam program yang bermula pada 9.30 pagi,” katanya.
Peserta korban, Rahimi Hasim berkata, perjalanan program yang lancar dan teratur memberi lebih keselesaan kepada semua pihak.
“Saya amat berpuas hati dengan program yang diadakan. Pengalaman luas penganjur menjadi kelebihan terhadap kejayaan program berkenaan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD