1,800 tapak niaga untuk pasar Ramadan, bazar Aidilfitri di Kuantan

1,800 tapak niaga untuk pasar Ramadan, bazar Aidilfitri di Kuantan

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 1,800 tapak niaga dikhaskan kepada peniaga di pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), tahun ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata kelulusan itu membabitkan 24 lokasi.

Sehubungan itu, katanya, semua peniaga disyaratkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun, MBK sedang menunggu pematuhan SOP mengenai bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Syarat pematuhan itu perlu dilaksanakan untuk memastikan keselamatan kepada peniaga dan pengunjung,” katanya.

Sehingga ini, katanya, permohonan penganjuran pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri sudah dibuka bermula 18 Februari lalu.

“Borang permohonan boleh dimuat turun melalui http://mbk.gov.my/portal/ dan tarikh tutup sebelum 12 tengah hari pada 28 Februari ini.

“Borang berkenaan hendaklah dihantar ke Bahagian Penjaja MBK,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN