Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Sekurang-kurangnya 187 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini yang sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) menerima sumbangan barangan dapur.
Sumbangan bantuan itu daripada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai tanda prihatin kepada KIR yang dikenakan kuarantin wajib.
Ia disampaikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nordin dan Ketua Pemuda, Md Jamil Pauzi yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar.
Nara berkata, penyampaian sumbangan itu membabitkan 187 KIR di 12 penempatan yang diharap dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
“Sumbangan bantuan disalurkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Ketua UMNO Cawangan dan pemimpin setempat untuk diagihkan kepada penerima,” katanya.
Dua belas penempatan itu ialah Kampung Kurnia, Kampung Razali, Sungai Isap, Tanah Putih Baru, Kampung Peramu, Peramu Maju, Kampung Anak Air, Sungai Deraka, Kempadang Makmur, Kampung Cempaka, Kampung Cherok Paloh dan Seri Kemunting.