Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com.my
Gambar Fath Ahnaf
KUANTAN: Seramai 19 petugas media dari pelbagai agensi antara 400 penerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali pada Majlis Amanat dan Penyampaian Sijil Penghargaan, di sini, hari ini.
Selain wakil media, penerima terdiri daripada ketua bahagian, cawangan, pegawai kanan, ketua balai dan pegawai awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Turut menerima sijil penghargaan adalah empat wakil daripada Fikrah Pahang.
Mohamad Noor berkata, media adalah penghubung antara polis dengan masyarakat melalui berita yang disampaikan mengenai kejayaan dan penugasan polis dalam menjaga keselamatan.
“Saya berharap hubungan dan kerjasama media bersama polis terus kukuh malah bertambah baik pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas majlis terbabit.
Beliau berkata, keberkesanan tugasan polis juga tidak akan lengkap tanpa kerjasama masyarakat terutama dalam tugas pencegahan jenayah dan pengurusan bencana.
“Terutamanya ketika ini di saat kita sedang berdepan pandemik Covid-19 dan kerjasama masyarakat khususnya di daerah ini memudahkan kerja polis serta agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga menghargai kerjasama pucuk pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri serta ketua jabatan negeri dan daerah.