Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM3 juta setahun bagi kos pengoperasian Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu membabitkan keperluan pejabat, aset, dan kelengkapan diri sebanyak RM2.2 juta dan bayaran emolumen berjumlah RM718,440.
Beliau berkata, penubuhan pasukan berkenaan membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Pahang untuk membanteras pencerobohan dan penerokaan tanah haram di negeri ini.
“Apalah sangat RM2.936 juta berbanding jutaan ringgit yang boleh kerajaan negeri selamatkan dengan melakukan kerja-kerja penguat kuasaan lebih berkesan bagi membendung dan mengatasi sepenuhnya gejala penerokaan tanah haram di negeri ini.
“Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang yang diletakkan di bawah UPNP (Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang) sedia ada juga membuktikan kerajaan negeri amat serius dan komited dalam memerangi penerokaan tanah secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Majlis Penutup Kursus Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Bukit Galing, di sini, hari ini.
Ditubuhkan menerusi keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 16 Jun 2021, disusuli mesyuarat yang dipengerusikan sendiri YAB Menteri Besar pada 30 Jun 2021, Pasukan Khas Elit Penguatkuasa Negeri Pahang dan UPNP diletakkan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, keanggotaan Pasukan Khas Elit Penguatkuasa Negeri Pahang ialah seramai 20 orang dengan had umur 35 tahun.
“Akhirnya 20 orang ini terpilih dengan syarat umur 30 tahun ke bawah, tapi sebahagian besarnya 25 tahun ke bawah dan bukan bekas anggota mana-mana pasukan keselamatan.
“Mereka ini diberikan latihan intensif menerusi kursus ini dan dilantik mengikut Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP 29 (lepasan sijil Diploma), yang perlu melepasi saringan kecergasan, ujian fizikal, tapisan keselamatan, tapisan insolvensi dan ujian personaliti,” katanya.
Menurutnya, pasukan berkenaan yang turut diberi kuasa memegang dan menggunakan senjata api, memberi fokus kepada perisikan, pengintipan dan pencegahan awal bagi mengkaji serta menilai ancaman, kegiatan sabotaj, pemberi maklumat sindiket terancang dalam mematahkan serbuan agensi penguatkuasa negeri.
Tambahnya, pasukan berkenaan diberi kuasa mengikut Kanun Tanah Negara (K.T.N) 1965, Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, Enakmen Sumber Air Negeri Pahang 2007 dan Akta Perhutanan Negara 1964.
“Mereka juga diberi tanggungjawab meninjau situasi awal di lapangan bagi menentukan modus operandi (MO) aktiviti serbuan dan penguat kuasaan bersesuaian.
“Fungsi pasukan tidak bertindih dengan UPNP dan Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang boleh diumpamakan pasukan komando dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.