KUANTAN: Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Pahang menyasarkan kehadiran 200 pengunjung bukan Islam untuk memeriahkan program ‘Mosque Open Day’ (Hari Terbuka Masjid) di Masjid Tepian Putra di sini, 27 Ogos ini.
Pengerusi GDM Pahang, Abdul Karim Awang Kechik, berkata program dengan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian 2.0 itu bertujuan untuk berkongsi kefahaman Islam dengan masyarakat bukan Islam supaya dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang saling menghormati dan memahami kepercayaan serta budaya masing-masing dalam suasana harmoni.
“Diharapkan program ini dapat membasmi sifat prasangka dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Program ini julung kali dianjurkan GDM Pahang dan kita berharap dapat menganjurkannya mengikut keperluan setempat dari semasa ke semasa,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Menurutnya, Hari Terbuka Masjid Hentian Putra bakal menyajikan pelbagai pengisian antaranya demonstrasi ibadah berwuduk, tutup aurat, solat berjamaah dan seterusnya memberi khutbah.
“Turut diadakan, pameran dan aktiviti gaya hidup Islam, pemeriksaan kesihatan percuma, kaunseling kerjaya dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN