KUANTAN: Sekurang-kurangnya 200 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) daerah ini menyertai program Ihya Ramadan Sehari bersama al-Quran di Masjid Hidayah Paya Besar, di sini, semalam.
Program anjuran Persatuan Kebajikan Al-Itqan Kuantan (Al-Itqan Care) dengan kerjasama Mgpasti Pahang (Zon Timur) dan SRITI Al Itqan Paya Besar membabitkan aktiviti tadabbur surah al-Fatihah dan tadarus al-Quran.
Pengarah program, Tengku Fathul Aziz Tengku Abd Mutalib, berkata peserta program itu mendapat bimbingan Pengarah Maahad Tahfiz Turath Pahang, Dr Mohd Saleh Ramli Al-Hafiz.
Menurutnya, program kali pertama diadakan itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran dan mempelajari bacaan surah al-Fatihah dengan betul.
“Saya berpuas hati dengan sambutan diterima dan kita bercadang menjadikan program ini sebagai acara tahunan di daerah ini.
“Rata-rata guru PASTI berpendapat program ini dapat memperbetulkan bacaan surah al-Fatihah yang turut akan dikongsi dengan murid,” katanya.- MOHD IMRAN IZZAD
Ends/tony