SIRI PERTAMA WAWANCARA EKSKLUSIF FIKRAH PAHANG (FP) BERSAMA YAB. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL, MENTERI BESAR PAHANG

SIRI PERTAMA WAWANCARA EKSKLUSIF FIKRAH PAHANG (FP) BERSAMA YAB. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL, MENTERI BESAR PAHANG

WAWASAN TOK WAN

Membina negeri Pahang yang lebih makmur demi kesejahteraan rakyat

Oleh Fikrah Pahang

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN 16 OKTOBER 2020. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail melihat naskah sulung Fikrah Pahang semasa majlis pelancarannya di Wisma Sri Pahang. Foto MUZ

SUDAH banyak kemajuan yang telah berjaya dilaksanakan, namun masih banyak lagi pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Walaupun baru kira-kira dua setengah tahun menduduki kerusi Menteri Besar Pahang, ternyata YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy atau lebih mesra disapa Tok Wan, seorang yang berwawasan dan sangat mengambil berat terhadap kebajikan rakyat negeri ini. Cita-cita beliau ingin melihat Negeri Pahang terus dimajukan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyatnya. Apakah pula harapan Menteri Besar Pahang kepada rakyat negeri Pahang? Ikuti wawancara eksklusif akhbar FIKRAH PAHANG (FP) bersama YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.

FP: Sejak YAB Dato’ Sri diperkenankan untuk menerajui kepemimpinan Kerajaan Negeri Pahang pada 15 Mei 2018 sehingga hari ini, pelbagai usaha dan tindakan telah YAB Dato’ Sri lakukan bagi memacu pembangunan dan kemajuan negeri ini, selari dengan slogan #MajuTerusPahang dan #Pahang1st. 

Mohon dapat kiranya YAB Dato’ Sri kongsikan serba sedikit mengenai pelbagai usaha dan tindakan yang menghasilkan kejayaan ini, antara yang terawal ialah penurunan kuasa daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah Daerah berkaitan permohonan oleh rakyat bagi urusan pindah milik tanah, gadaian tanah dan pajakan tanah. 

JAWAPAN: Sememangnya soal penurunan kuasa bagi kelulusan kebenaran (consent) daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Menteri Besar kepada Pentadbir Tanah Daerah berkaitan permohonan rakyat untuk urusan-urusan pindah milik tanah, gadaian tanah dan pajakan tanah ialah yang pertama saya lakukan setelah menjadi Menjadi Menteri Besar pada 15 Mei 2018.

   Ini pula saya laksanakan dan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2018 atau tak sampai pun tiga bulan selepas pelantikan.

   Saya berikan keutamaan kerana soal ini boleh memudahcarakan atau ‘facilitate’ lagi urusan rakyat berkaitan perkara-perkara berkaitan tanah.

   Lagipun, membiarkan perkara ini berlarutan tanpa penyelesaian telah menjadikan Kerajaan Negeri sasaran kecaman oleh rakyat, serta pihak yang menguruskannya seperti firma-firma guaman dan perbankan.

   Sebelumnya, kuasa bagi kelulusan kebenaran ini berpusat kepada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar yang melambatkan, ada antaranya mengambil masa sehingga bertahun-tahun.

   Menerusi penurunan kuasa atau ‘de-centralisation of power’, bagi permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan ‘kasih sayang’ yang melibatkan suami-isteri dan anak-beranak serta ‘waris qadim’ seperti bapa dengan anak, ibu dengan anak, adik-beradik, nenek dengan cucu dan datuk dengan cucu. Begitu juga bagi yang bukan ‘waris qadim’ seperti saudara terdekat iaitu sepupu, anak saudara, bapa saudara dan ibu saudara.

   Keputusan kelulusan kebenaran bagi permohonan yang lengkap, boleh dibuat dalam tempoh sehari-dua hari bekerja sahaja.

   Kepada permohonan kebenaran pindahmilik, gadaian dan pajakan tanah sama ada individu atau syarikat bagi kategori-kategori – Melayu kepada Melayu; bukan Melayu kepada bukan Melayu; bukan Melayu kepada Melayu – keputusan bagi permohonan yang lengkap ini pula boleh dikeluarkan dalam tempoh 10 hari bekerja.

   Selepas kira-kira dua tahun dua bulan pelaksanaan ketetapan ini, saya dapati rakyat berasa lega dan gembira, maka kecaman mereka sebelum ini mengenainya sudah semakin berkurangan secara drastik. 

   Untuk urusan melibatkan tanah milik Melayu kepada bukan Melayu bagaimanapun, Kerajaan Negeri terus bertegas mengenainya demi memelihara kepentingan Melayu juga, insya-Allah. 

JANGKA HASIL MENINGKAT WALAUPUN KETIKA COVID-19

FP: Selain mengenai ‘consent’ tadi, banyak lagi yang telah diperkenalkan dan banyak kejayaan diraih. Misalnya, menetapkan KPI sekurang-kurangnya 90 peratus bagi kutipan hasil negeri. Mohon YAB Dato’ Sri ulas lanjut mengenainya.  

JAWAPAN: Mengenai pengenalan KPI 90 peratus ini, memang telah kelihatan kejayaannya.

   Misalnya, bagi Belanjawan Negeri 2019 – pertama kali saya bentangkan sebagai Menteri Besar pada 19 November 2018; yang disasarkan kutipan hasil sebanyak RM703.8 juta, tetapi berjaya melakukan kutipan hasil sebenar sehingga RM847.3 juta pada akhir tahun lepas, atau pencapaian sehingga 120.39 peratus!

   Bagi Bajet 2020 pula yang telah saya bentangkan kali kedua tahun lepas, yang disasarkan RM744.02 juta tetapi setakat 30 September 2020, yang sudah dikutip ialah RM604.24 juta atau sudah 81.21 peratus untuk mencapai sasaran. Dan lebih terkini sehingga 5 Oktober 2020 pula, jumlah dikutip ialah RM614.62 juta atau 82.61 peratus daripada sasaran. 

   Dengan kadar kutipan yang menggalakkan ini, tidak mustahil bahawa, akhirnya hasil yang dikutip pada tahun 2020 ini juga akan melepasi sasarannya sebanyak RM744.02 juta, insya-Allah.

   Ini semua di sebalik tahun 2020 ini, bermula Mac, Kerajaan Pusat perkenalkan langkah-langkah ketat yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara dan negeri, bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19. 

   Jelas bahawa, kejayaan ini hasil daripada ketegasan dan kepemimpinan saya terutamanya, dalam menetapkan KPI 90 peratus dalam kutipan hasil, serta usaha-usaha untuk mengelakkan ketirisan dalam pengumpulan hasil negeri.

FP: Di bawah kepemimpinan YAB Dato’ Sri juga, Pahang Corporation ditubuhkan yang berfungsi antara lain, mengawal selia prestasi S-GLC dengan turut mengarahkan mereka menyumbang peratusan tertentu daripada keuntungan tahunan kepada Kerajaan Negeri. 

   Apakah rasional di sebalik penubuhan Pahang Corporation dan apakah kejayaan yang diperolehi setakat ini? 

JAWAPAN: ‘Pahang Corp’ ditubuhkan sebagai agensi milik penuh Kerajaan Negeri yang mengambil peranan berkaitan fungsi-fungsi kawalan ke atas Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) melibatkan pengurusan korporat, latihan, perundangan, keperluan pengurusan latihan dan insuran secara berkelompok.

   Pahang Corp juga diberi tanggung jawab berkaitan pengurusan aset Kerajaan Negeri dan mewujudkan bidang perniagaan baharu melibatkan pengurusan air, tanah dan teknologi digital.

   Setakat ini, Pahang Corp telah menyusun semula beberapa syarikat berkaitan negeri yang digabungkan melalui ‘corporate exercise’ ke dalam Kumpulan Pahang Corp.

   Pahang Corp juga telah berjaya menyusun semula pengurusan tanah pertanian di Cameron Highlands dengan kerjasama Perbadanan Ssetiausaha Kerajaan (PSK) dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dengan mewujudkan skim sewaan baharu menggantikan skim Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sebelum ini.

   Pahang Corp turut menubuhkan anak syarikat bagi menguruskan sumber air mentah dan tenaga dikenali – Pahang Waters and Energy Resources. Ia bertujuan mengawal dan menyelaras sumber-sumber berkaitan air mentah dan tenaga, termasuklah sumber tenaga hijau dan diperbaharui.

   Melalui inisiatif Pahang Go, Kumpulan Pahang Corp telah mewujudkan satu platform aplikasi digital untuk kemudahan rakyat mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri secara dalam talian seperti parking dan perbayaran cukai dan bil perkhidmatan.

   Melalui proses penggabungan beberapa S-GLC dan pengurusan tanah serta sumber air ini, Kumpulan Pahang Corp telah berjaya mencatatkan keuntungan selepas hanya satu tahun beroperasi.

FP: Sebagai Menteri Besar, soal kemasukan pelaburan ke Pahang juga mendapat perhatian serius daripada YAB Dato’ Sri. Ini termasuklah dalam menggalakkan pelaburan luar negara seperti mana misi-misi ke negara-negara Singapura dan China yang telah YAB Dato’ Sri ketuai pada tahun 2019 yang lepas, serta ke Thailand pada awal tahun 2020 ini.  Apakah resipi kepada kejayaan ini? 

JAWAPAN: Bagi menjawab secara terus soalan ini, resipinya ialah kerja berpasukan atau ‘teamwork’ dalam kalangan bukan sahaja Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dengan setiap orang memainkan peranan secara diplomasi, tetapi juga penjawat awam diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai dari Bahagian Perancang Ekonomi (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kita. 

   Sudah tentulah sebelum kita melakukan misi-misi tersebut, ‘homework’ dilakukan dengan penuh teliti oleh pagawai-pegawai kita sambil berhubungan dengan pihak-pihak pelabur di negara-negara tersebut. 

   Dengan ini, apabila misi pelaburan kita berada sahaja di negara-negara berkenaan, semua urusan sudah pun peringkat akhir persetujuan dan ini telah melancarkan serta memberi kesan positif kepada misi-misi pelaburan tersebut.

   Alhamdulillah, berdasarkan tiga misi pelaburan ke luar negara di Singapura pada Ogos 2019 dan China pada September 2019 serta Thailand pada Mac 2020, kira-kira RM3.73 billion nilai pelaburan telah dijanjikan menerusi penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU).  

   Sebahagian besar perjanjian ini saya difahamkan, adalah pada peringkat untuk merealisasikannya di lapangan, khususnya di kawasan-kawasan perindustrian di negeri ini seperti mana ditetapkan. 

   Pun begitu, saya masih mahu memperbaiki kaedah yang sedia ada dan kini, saya telah tetapkan bahawa pada misi pelaburan akan datang yang kini terencat dengan penutupan sempadan negara akibat penularan wabak pandemik COVID-19, kita akan hanya menganjurkan misi-misi pelaburan ke negara-negara berkenaan setelah semua urusan untuk menandatangani MoA (Memorandum Perjanjian) dilakukan, bukan setakat untuk menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) yang masih longgar ikatannya.

FP: Komitmen YAB Dato’ Sri dalam soal pemeliharaan hutan nyata turut terserlah. Ini di sebalik kecenderungan sesetengah pihak untuk lebih gemar memfokuskan kepada hal-hal negatif seperti gejala pencerobohan tanah dan hutan secara haram. Mohon YAB Dato’ Sri menjelaskan lebih lanjut tentang perkara ini. 

JAWAPAN: Sememangnya Kerajaan Negeri sentiasa mengambil maklum dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini. 

   Dalam pada itu pun, Kerajaan Negeri pimpinan saya turut menekankan tentang usaha untuk terus memelihara dan memulihara hutan kita termasuklah menerusi pengwartaan kawasan-kawasan hutan tertentu sebagai Hutan Tadahan Air. 

   Pada mesyuarat MMK Negeri 8 Mei 2019, kawasan hutan seluas 132,212.58 hektar lagi telah diputuskan sebagai Hutan Tadahan Air menjadikan keseluruhan keluasan 386,971.14 hektar. 

   Keluasan ini (386,971.14 hektar) ialah kira-kira tiga kali ganda jumlah keluasan seluruh negeri Pulau Pinang yang seluas kira-kira 103,104 hektar!

   Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan juga kita laksanakan di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, yang pada 9 Oktober 2019, MMK Negeri juga bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai Hutan Taman Negeri di sana. 

   Dengan ini menjadikannya Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar.

   Demi memelihara hidupan liar pula, Kerajaan Negeri meluluskan kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk harimau Malaya.

   Keputusan ‘mesra alam’ dan ‘mesra hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019. 

   Dalam diam tak diam, Kerajaan Negeri juga sebenarnya, telah mewartakan kira-kira 1.5 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai HSK, menjadikan Pahang negeri yang mempunyai HSK terluas di Semenanjung Malaysia. 

   Ramai juga masih tidak sedari bahawa sehingga kini pun, luas kawasan berhutan (forested area) negeri Pahang ialah kira-kira 2.05 juta hektar atau 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang (yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar).

  Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan saya, dengan itu amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan

SUNGAI ICHAT JADI MODEL

FP: Komitmen YAB Dato’ Sri dalam memastikan kelestarian Cameron Highlands juga terserlah. Selain dengan ketegasan dalam isu-isu penerokaan tanah haram di sana, juga usaha serius dan istiqomah dalam memastikan kejayaan seperti mana berjayanya Sungai Ichat yang tercemar teruk pada tahap 4 kini sudah bersih dan selamat diminum dan berada di tahap 1. Apa komen YAB Dato’ Sri tentang perkara ini?      

JAWAPAN: Usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat, sewajarnya menjadi ‘model’ kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam menangani gejala tersebut di seluruh negeri.

   Rakyat juga diharap dapat membuka mata terhadap usaha dan kejayaan kita di kawasan tanat tinggi itu, serta memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menangani isu yang sama di daerah-daerah lain di negeri ini.

   Apa yang tidak dihadapi Kerajaan Negeri dalam menangani isu di situ? Selain bantahan oleh petani-petani terbabit termasuk mengadakan demonstrasi hingga memerlukan campur tangan pasukan keselamatan, mereka juga membawa bantahan mereka hingga ke mahkamah yang kemudian mereka juga yang menariknya balik. 

   Namun, Kerajaan Negeri terus bertegas mengenainya. Selain tindakan merobohkan kebun-kebun haram, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diminta menanam semula pokok-pokok yang sesuai di situ

   Selain itu, Kerajaan Negeri juga mewartakan kawasan seluas 121.12 hektar di situ sebagai HSK Sungai Ichat, bagi memastikan Sungai Ichat, Mukim Ulu Telom ini terus terpelihara. 

   Akhirnya, bukan sahaja tanah dikembalikan kepada Kerajaan Negeri malah air Sungai Ichat yang tercemar sebelumnya dengan tahap 4 kini menjadi tahap 1 yang boleh diminum mentah-mentah. 

   Semuanya kerana ketegasan serta ‘political will’ tinggi kita dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanah tinggi itu terutamanya, dapat diselesaikan. 

FP: Di bawah kepemimpinan YAB Dato’ Sri juga, soal asas seperti mana perumahan rakyat menjadi keutamaan YAB Dato’ Sri. Sementelah pula YAB Dato’ Sri semasa menjadi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, mengetuai portfolio perumahan. Bolehkah YAB Dato’ Sri berikan ulasan lanjut tentang perkara ini? 

JAWAPAN: Sejak saya sebagai Ahli MMK lagi, memang saya dipertanggungjawabkan mempengerusikan Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana, idea bagi perlaksanaan Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) Pahang dicetuskan oleh Menteri Besar ketika itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan saya diminta melaksana dan menjayakannya

   Di bawah PR1MA Pahang ini, matlamatnya ialah untuk membina rumah berkembar setingkat berharga RM150,000 sebuah dengan keluasan lot tanah 2,800 kaki persegi dan keluasan binaan 1,000 kaki persegi.  

   Sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 3,942 buah rumah berkembar setingkat ini telah siap. Pada tahun 2020 ini hingga setakat 30 September, 712 buah lagi telah siap dan jangkaannya, sebanyak 1,055 buah akan siap menjelang akhir tahun 2020 ini. 

   Kemudian diperkenalkan pula Rumah Makmur Pahang (RMP) – rumah jenis teres setingkat dengan harga RM80,000 sebuah, berkeluasan binaan 800 kaki persegi.

   Pembinaan RMP ini hanya bermula tahun 2020 ini. Projek yang dalam pembinaan ialah 635 buah di Kampung Tiram, Kuantan; dan 57 buah di Bandar Pusat Jengka, Maran. Projek RMP yang akan memulakan pembinaan dalam masa terdekat ialah di Tanjung Gahai, Lipis, sebanyak 90 buah. 

   Terkini, Kerajaan Negeri memperkenalkan dan melaksanakan Rumah Rakyat Pahang (RRP). Rumah ini jenis sesebuah, berkeluasan 750 kaki persegi dengan kos RM65,000 sebuah. 

   Sebanyak 98 unit sedang dibina di seluruh Negeri Pahang iaitu dua (2) buah setiap 42 kawasan Dewan Negeri, dan sebuah (1) di setiap 14 kawasan Parlimen. Kos pembinaan ialah RM6.37 juta yang daripadanya, RM5.39 juta ditampung menerusi Tabung Perumahan Rakyat (TPR) dan RM980,000 lagi ialah sumbangan Kerajaan Negeri.

   RRP sebenarnya ialah satu lagi projek ehsan Kerajaan Negeri yang diberikan secara percuma kepada golongan yang memerlukan. Dan ia akan diteruskan pada masa depan, insya-Allah. 

FP: Masih mengenai perumahan. Kami difahamkan, Kerajaan Negeri juga mewujudkan Tabung Perumahan Rakyat (TPR) yang antara lain fungsinya, mengutip dana daripada pemaju yang tidak upaya melaksanakan sendiri projek rumah kategori sederhana rendah di satu-satu tapak perumahan Tanah Kerajaan yang telah diluluskan kepada mereka. 

   Apakah perkembangan terkini tentang TPR ini serta usaha melaksanakan projek rumah kategori sederhana rendah tersebut? 

JAWAPAN: Tabung Perumahan Rakyat (TPR) diwujudkan untuk mengisi dana yang mana wang tabung digunakan untuk membina RRP, membaik pulih rumah yang rosak, sumbangan bagi menaik taraf rumah daif dan lain-lain yang berkaitan.

Sumbangan kepada TPR ialah daripada pemaju yang diberikan pilihan sama ada membina Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) atau membayar Wang Gantian sebanyak RM35,000 bagi kawasan Majlis Perbandaran dan RM30,000 bagi kawasan Majlis Daerah.

   Selain itu, sumbangan juga diperolehi sekiranya pemaju memohon untuk melepaskan Kuota Bumiputera. Bayaran sumbangan dikira atas tujuh peratus harga jualan setiap unit rumah, dan 10 peratus atas harga jualan setiap unit komersil.

   Sehingga 30 September 2020, sumbangan yang diterima oleh TPR kira-kira RM12.5 juta berbanding sasarannya bagi tahun ini, cuma RM6 juta.

   Bagi memenuhi permintaan rumah mampu-milik, Kerajaan Negeri memberi penekanan untuk pembinaan RMP berharga RM80,000 sebuah, sebagai ganti RKSR berharga RM90,000 sebuah.

  Sehingga kini, sebanyak 7,088 RMP telah diluluskan dan seperti saya sebutkan tadi, sebanyak 692 unit mula dibina pada tahun 2020 ini.

KERAJAAN NEGERI DAN RAKYAT, KAWAN SEJATI

FP: Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan YAB Dato’ Sri juga dilihat sebagai Kerajaan bersama-sama rakyat ‘semasa senang mahu pun susah’. Hubungan ini pula mengambil iktibar pepatah Inggeris ‘A friend in need is a friend indeed’ (kawan semasa susah ialah kawan yang sejati). 

   Misalnya, tatkala rakyat terkesan dengan langkah-langkah tegas yang Kerajaan Pusat perkenalkan demi membendung penularan wabak pandemic COVID-19 bermula Mac lepas, Kerajaan Negeri memperkenal dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu mereka yang terkesan teruk dengannya. Apa kata YAB Dato’ Sri tentang perkara ini? 

JAWAPAN: Sebagai sebuah Kerajaan, sudah tentu kepemimpinan saya mesti melakukan apa sahaja usaha bagi membantu rakyat terutamanya tatkala rakyat menghadapi masa susah sepertimana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas. 

Oleh itulah, Kerajaan Negeri memperkenal dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat jelata daripada pelbagai latar ekonomi khususnya yang terkesan teruk dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

   Sebanyak 29 inisiatif diperkenal dan dilaksanakan dalam lima Fasa iaitu; Fasa 1, sebanyak lapan inisiatif (diumumkan pada 23 Mac 2020); Fasa 2, sebanyak lima inisiatif (diumumkan pada 30 Mac 2020); Fasa 3, sebanyak sembilan inisiatif (diumumkan pada 8 April 2020); Fasa 4, sebanyak enam inisiatif (diumumkan pada 22 April 2020); dan Fasa 5, sebanyak satu inisiatif yang dilaksanakan menjelang Hari Raya Aidilfitri 2020 .

   Nilai peruntukan/implikasi kewangan yang Kerajaan Negeri tanggung bagi kesemua inisiatif ini ialah lebih RM26.4 juta (RM26,436,270) melibatkan penerima keseluruhannya kira-kira 141,894 Ketua Isi Rumah (KIR) atau kira-kira 38.79 peratus daripada kesemua 365,800 KIR di negeri ini.

Antara 29 inisiatif ini ialah:

* Peruntukan khas kepada setiap 42 Ahli Dewan Negeri di Pahang – tanpa mengira parti pemerintah atau pembangkang; bagi membantu secara terus rakyat yang terjejas dengan penularan wabak pandemik Covid-19 ini. Nilai keseluruhan peruntukan ialah RM252,000.

* Memberikan potongan 100 peratus atau percuma daripada kadar sewa bulanan Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Rancangan Rumah Murah (RRM) di seluruh Negeri Pahang bagi bulan April 2020. Inisiatif ini memberi faedah kepada 2,453 penyewa/KIR dan melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM300,000.

* Bagi meringankan beban penyewa-penyewa premis milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kerajaan Negeri bersetuju menangguhkan pembayaran sewa berkenaan untuk bulan-bulan April, Mei dan Jun 2020. Implikasi kewangan yang dihadapi PKNP ialah RM1.5 juta.

* Selain itu, sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang. Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250. 

* Begitu juga sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada seramai 426 orang yang dalam kalangan Pemandu Pelancong Semulajadi Taman Negara, Pemandu Pelancong Biasa dan Pemandu Bot Pelancong Taman Negara. Nilai peruntukan keseluruhannya untuk golongan berkaitan pelancongan ini ialah RM63,900.

FP: Apakah harapan dan sasaran YAB Dato’ Sri dalam memastikan negeri Pahang akan terus maju dan rakyat negeri ini akan terus menikmati kemajuan yang setanding atau lebih baik berbanding dengan penduduk di negeri-negeri lain, selari dengan inspirasi #MajuTerusPahang dan #Pahang1st.

JAWAPAN: Daripada segi kutipan hasil negeri, saya telah menyasarkan Kerajaan Negeri untuk mencapai kira-kira RM1 billion dalam tempoh setahun-dua lagi ini. Insya-Allah. 

   Sasaran ini saya lihat, boleh dicapai berdasarkan kegigihan pegawai kerajaan kita dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan hasil negeri sentiasa dipertingkatkan menerusi kutipan yang cekap dan berkesan. 

   Bukannya kita sekadar hendak berbangga dengan sasaran kutipan ini. Dengan kutipan yang banyak mencecah RM1 billion, sudah tentu akan dipulangkan kembali kepada rakyat juga dalam bentuk pelbagai lagi dasar dan program yang memanfaatkan rakyat dapat diperkenal dan dilaksanakan lagi.

  Harapan saya agar rakyat sentiasa memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Negeri, paling tidakpun akurlah kepada segala yang disarankannya. Dengan itu, Pahang dapat terus dimajukan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyatnya juga.

Ikuti Siri Kedua Wawancara Eksklusif Fikrah Pahang bersama Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, yang mengupas mengenai isu-isu politik semasa tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *