Sambungan Seruan Rabiul Awal  oleh YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

Sambungan Seruan Rabiul Awal oleh YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

Ini penjelasan kepada persoalan yang dibangkitkan.
Turutan daripada saranan Maulidurrasul yang kita bincangkan melalui wall Face Book kami, ada beberapa rakan menghubungi kami bertanyakan soalan yang sangat baik. Katanya :

“Saranan Dato Sri Ustaz ni baik, tapi bagaimana dan siapa yang nak laksanakan?”

Sebenarnya, perkara ini sangat berkait rapat dengan diri kita serta kemahuan, dan kemahuan itu adalah gerakan yang terdorong didalam naluri manusia. Naluri itu sebenarnya perlu dibina dengan bersikap jujur, berkemahuan tinggi, bersih, bermatlamat, mempunyai nilai kekuatan dan sentiasa dikaitkan dengan Si Penganugerah kemahuan itu sendiri dan naluri itu juga.

YB Dato’ Sri Syed Ibrahim memimpin Majlis Maulid Mingguan dan Bacaan Syamaiel Muhammadiah Serta Kitab Keutamaan Ibni Qaiyyim sempena ketibaan bulan Rabiul Awwal 1442H di Kuala Sungai Tekal, Temerloh, semalam. – Foto FB Dato Sri Syed Ibrahim

Proses ini dinamakan pengenalan diri dan pengenalan garis permulaan perjalanan kita dalam kehidupan. Naluri itu, adalah ciptaan Allah seperti yang telah disumpahkan oleh Allah dalam firman-Nya :

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
“Demi jiwa (naluri) dan apa yang diciptakannya, diilhamkan didalamnya keburukan dan kebaikan”

Firman Allah SWT ini menegaskan setiap individu itu diciptakan dan dikurniakan oleh Allah, iaitu naluri. Dengan naluri inilah manusia tidak loya dan lesu. Datangnya daya dorongan untuk melakukan sesuatu sama ada baik ataupun buruk.

Dialah yang menggerakkan anggota serta melakukan refleks terhadap setiap dorongannya sama ada baik atau buruk. Orang yang mengikut dorongan baik, mereka akan berjaya. Orang yang mengikut dorongan buruk, mereka akan musnah. Seperti yang ditegaskan oleh Allah, didalam firman-Nya,

 قَد أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا  وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
“Sesungguhnya berjayalah orang yang mensucikannya dan musnahlah orang yang merosakkannya”

Di dalam naluri manusia itu, Allah kurniakan suatu perkara lagi iaitu daya kemahuan. Daya kemahuan inilah, suatu motivasi yang akan memberi keupayaan kepada manusia untuk bertindak. Kemahuan itu boleh saja jadi kepada perkara yang baik, atau kepada perkara yang buruk. Seumpama kata-kata, digunakan kemahuan itu sepenuhnya untuk dorongan kepuasan dunia, maka dia akan dapat kerjasama daripada anggotanya untuk melaksanakan kemahuannya sedaya mungkin tetapi ia akan menjadi matlamat yang bersifat dunia semata mata dan tidak mustahil berkesudahan dengan berlakunya pertelagahan di dalam dirinya sendiri di antara rasionalnya pemikiran serta kemahuan yg hakiki dan tindak balas anggotanya sendiri. Akhirnya, kehidupan mereka menjadi celaru, lara, dan mereka akan berjiwa kacau kerana dia tidak tahu dari mana mereka bermula dan kemana arah yang mereka perlu pergi.

Inilah yang difirmankan oleh Allah :

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna, dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan”

Ayat ini menyatakan jika kita mengeksploitasikan kurniaan naluri dan kemahuan itu semata mata utk dunia, Allah izinkan tanpa sebarang halangan, tetapi mereka hanya akan dapat dunia mereka semata-mata.

Namun, seandainya kemahuan mereka itu dibina dengan matlamat yg betul serta sesuai dengan fitrah yang dikehendaki oleh Si Pencipta dan Penganugerah naluri itu serta kehendak, maka sudah pasti ia bukan saja akan bermula dari garis permulaan yg betul bahkan ia akan sampai ke penghujung dengan wawasan yg tepat dan jayanya.

Inilah yg dimaksudkan dlm firman Allah SWT :

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
“Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat”

Jadi, dalam isu merungkaikan persengketaan, perebutan kuasa, tuduh menuduh, nafi menafi, dan saling tidak percaya antara satu sama lain, mesti utk dicapaikannya dengan memahami oleh setiap individu konsep kemahuan yg ada dalam diri mereka. Apakah sebenarnya yg mereka inginkan. Jujurkah mereka dengan keinginan itu seandainya benar kita memiliki keinginan cinta kpd negara, kasih kepada rakyat, dan sayang kpd agama. Jika ini teras kemahuan kita, beruntunglah kita. Namun, kita tidak boleh berdusta di antara kemahuan dan naluri kita. Kita mesti jujur, dan mesti buktikannya.

Seandainya, kita mempunyai kemahuan yg semulia ini mestilah kita syukuri kpd Allah kerana kemahuan yg baik itu juga adalah anugerah daripada Allah. Kemahuan ini juga mestilah kita suburinya dengan nilai yang bertepatan dengan kemahuan itu, kerana ia adalah perintah dari Allah. Kemahuan ini juga mestilah kita sahuti secara praktikal kerana ianya akan menghasilkan natijah yg terbaik. Dan itulah janji Allah.

Tidak salah kita mengingini dunia, dan Allah telahpun izinkan. Tetapi yg salah kita berebut dunia sehingga kita lupa kepada larangan Allah agar kita tidak berpecah belah, tidak berbalah, tidak tuduh menuduh, tidak berebut kuasa dan tidak menjadikan matlamat dunia itu sebagai mahkota yg sangat dikehendaki.

Maka, jika ditanya siapakah yg perlu mulakan untuk menyahut seruan Rabiulawal, jawapannya kita lah. Bukan dia sahaja. Kami lah, bukan kamu sahaja. Saya lah, bukan awak sahaja. Setiap individu lah tiada terkecuali. Terutama pemimpin yg menjadi tauladan, rakyat yg menjadi sempadan, org ramai yg menjadi pemerhatian. Tiada siapa terkecuali.

Jangan tunggu org lain mulakan dan jangan harap mereka dahulukan. Kita kena mulakan dengan bersungguh sungguh.

Jika ditanya pula, bagaimana perlaksanaanya. Laksanakanlah, sebagaimana yg disebutkan di atas tadi dengan kemahuan dan jujur daripada hati. Duduklah didepan sirah nabi sambil meniru perbuatan sababat bagaimana di hadapan nabi. Kenali lah keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah supaya tersemai bibit kasih kepada baginda. Bibit kasih itu, memudahkan naluri utk mendorong kemahuan supaya ada kemahuan yg baik. Seperti yang cambah dalam cambah dlm naluri para sahabat. Dalamilah peribadi dan akhlak Rasulullah kerana itu, contoh kukuh, untuk kita dasari, naluri kita bagi menggerakkan kemahuan yg baik baik. Adakan dan duduklah majlis-majlis Rasulullah bagaikan baginda ada bersama kita supaya tercipta suasana iman yang dibina oleh nabi kita.

Jika ada kemahuan, Allah akan kurniakan pembimbing kepada kita. Jika tidak kita tidak akan jumpa jalan keluar dalam apa masalah sekali pun. Inilah yg dimaksudkan dari firman Allah;

وَمَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُمْ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِهِ ۖ وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا ۖ مَّأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَاهُمْ سَعِيرًا
“Dan barang siapa diberi petunjuk oleh Allah, dialah yg mendapat petunjuk. Dan siapa disesatkan maka tiada akan dapat penolong bagi mereka selain Dia. Dan kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat dengan wajah tersungkur, buta, bisu, dan tuli. Tempat mereka adalah neraka jahanam. Setiap kali api itu padam, kami tambah lagi nyalaannya”

Sehubungan itu, marilah bemuhasabah khususnya kepada pucuk pimpinan. Adakah kita jujur, ataupun kita mendustai diri kita sendiri. Maka rugilah kita, masyarakat dan negara disebabkan kesilapan kita.
Begitu juga masyarakat, jadilah pembantu kepada mereka dengan cara yang betul, luhur dan memberikan kekuatan serta sokongan moral agar mereka mampu berjalan dengan betul. Cemuh, caci maki, ejekan dan celaan tidak mampu memberi jalan keluar dan merungkaikan permasalahan, sebaliknya hanya menambahkan lagi keburukan dan perpecahan. Bangkitlah ummah dgn Rasulullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *