SIRI KEDUA WAWANCARA EKSKLUSIF FIKRAH PAHANG (FP) BERSAMA YAB. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL, MENTERI BESAR PAHANG

SIRI KEDUA WAWANCARA EKSKLUSIF FIKRAH PAHANG (FP) BERSAMA YAB. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY WAN ISMAIL, MENTERI BESAR PAHANG

PRU: PAHANG ADA FORMULA KEMENANGAN TERBAIK

 MN jadi sandaran utama jamin kekuatan Kerajaan Negeri, BN

2-0. Itulah skor kemenangan diraih Barisan Nasional (BN) Pahang yang diterajui oleh UMNO dalam dua Pilihan raya Kecil (PRK) yang diadakan di negeri ini dalam tempoh tidak sampai dua tahun. Kemenangan ini sangat signifikan dalam mengukur keupayaan BN dan Muafakat Nasional (MN) serta tahap penerimaan rakyat kepada UMNO di bawah kepemimpinan YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Apakah resepi kejayaan itu? Ikuti wawancara eksklusif FIKRAH PAHANG (FP) bersama Menteri Besar (MB) Pahang.

FP: Pahang adalah salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) berdasarkan rekod – Kerajaan Persekutuan pimpinan BN selama lebih enam (6) dekad pun jatuh pada Pilihan raya Umum (PRU) Ke-14 lepas, namun Pahang (selain Perlis) tetap terus-menerus BN kuasai. 

   Dan di bawah teraju YAB Dato’ Sri sejak Mei 2018; dua PRK telah dilalui dan YAB Dato’ Sri ketuai serta menang besar iaitu di Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 dan di Dewan Negeri Chini pada 4 Julai 2020. 

   Kedua-dua PRK ini pula banyak disumbangkan kemenangannya ekoran persepakatan dalam MN antara UMNO dengan PAS.

   Bagaimanakah YAB Dato’ Sri melihat MN dapat terus membantu memperkukuhkan lagi penguasaan BN dalam arena politik negeri? 

JAWAPAN: Sepertimana saya telah katakan sebelum ini bahawa dalam konteks Pahang, MN memang menjadi sandaran utama dalam menjamin kekuatan Kerajaan Negeri, serta BN terutamanya.

   Keputusan PRK Cameron Highlands dan Chini ialah ‘testimony’ kepadanya.

   Sungguhpun kita, yakni UMNO menjalin hubungan dengan PAS dalam MN, UMNO masih mempunyai rakan-rakannya MCA dan MIC dalam BN negeri yang tidak pula kita pinggirkan.

   Dengan kekuatan BN sedia ada ditambah ‘synergy’ dengan persepakatan UMNO/PAS dalam MN, saya percaya Kerajaan Negeri Pahang pimpinan sedia ada di bawah saya, akan terus kukuh, insya-Allah.

FP: Apakah cabaran utama dihadapi MN di Pahang dan bagaimanakah cara MN mahu memikat hati pengundi bukan Melayu? 

JAWAPAN: Cabaran MN di Pahang, sepertimana juga dengan di peringkat nasional mahupun negeri-negeri lain ialah untuk mengekalkan persepakatan tulen dan jujur di dalamnya. Oleh sebab itulah, daripada semasa ke semasa, program-program demi mengukuhkan persepakatan itu diadakan. 

   Pada peringkat awal dulu, ini kelihatan agak kekok tetapi kini sudah mula terasa kemesraannya yang sebab itulah juga telah menyumbang kepada kejayaan cemerlang dalam PRK Cameron Highlands dan Chini yang lepas. 

   Mengenai pengundi bukan Melayu; sebagai Pengerusi BN Negeri, saya juga terus menjalin hubungan mesra dengan parti-parti komponen BN di Pahang yang terdiri daripada MCA dan MIC. 

   Dengan hubungan mesra ini diharapkan, kedua-dua parti bukan Melayu ini dapat menyumbang dalam mendapatkan undi bukan Melayu pada PRU-15 kelak.

FP: Melalui perbincangan diadakan, adakah kedua-dua pihak UMNO dan PAS Pahang secara dasarnya sudah mencapai persepakatan mengenai pembahagian kerusi untuk dipertandingkan?

JAWAPAN: Sukacita saya katakan, perkara ini telah pun dibincangkan dan dipersetujukan bahawa setakat ini, kita akan sama-sama kekalkan ‘status quo’ yakni, di mana UMNO dan PAS ialah penyandang kepada satu-satu kerusi Dewan Negeri dan Parlimen, maka di situlah calon daripada parti berkenaan akan kekal bertanding.

   Dengan itu, di peringkat Dewan Negeri, UMNO akan kekal bertanding di kesemua 24 kerusi, dan PAS di kesemua lapan kerusi yang kedua-dua parti itu sandanginya sekarang atau keseluruhannya, 32 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Negeri.  

   Bakinya lagi 10 kerusi termasuk satu kerusi diduduki oleh MCA yang juga ialah komponen BN yang turut UMNO anggotai, dan sembilan lagi oleh parti-parti DAP (tujuh kerusi) dan PKR (dua kerusi), akan ditentukan apabila tiba masanya kelak. 

  Di peringkat Parlimen pula, UMNO akan kekal bertanding di kesemua sembilan kerusi disandanginya manakala baki kerusi (kecuali Indera Mahkota) yang dikuasai oleh calon Amanah dan PKR, masing-masing satu dan DAP (dua); akan ditentukan pembahgiannya dalam kalangan MN apabila tiba masanya. 

  Bagi kerusi Indera Mahkota yang disandangi oleh Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) akan dikekalkan kepada parti tersebut memandangkan UMNO dan PAS turut menghormati kedudukan parti itu dalam PN, yang mana kedua-dua UMNO dan PAS mempunyai hubungan mesra dengannya (Malah, PAS ialah anggota rasmi PN).

   Berdasarkan percaturan ini sahaja insya-Allah, kekuatan MN di negeri ini akan terus terserlah dalam PRU-15 kelak.

FP: Soalan terakhir kami, dijangkakan PRU ke-15 mungkin diadakan tidak lama lagi dan ada desas-desus mengatakan ia bakal diadakan pada tahun ini. 

   Adakah MN Pahang sudah bersedia menghadapinya dan apakah nasihat YAB Dato’ Sri kepada jentera parti dan para pengundi di Pahang?

JAWAPAN: Mengenai PRU-15 terutamanya desas-desus ia akan diadakan tahun ini juga atau belum sempat penggal Parlimen Ke-14 berlangsung melepasi tempoh tiga tahun, saya amat berharap ianya takkan berlaku memandangkan pengajaran buruk daripada Pilihan raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini yang menyebabkan penularan kembali wabak pandemik COVID-19 di negara kita. 

   Sungguhpun begitu, jika PRU-15 ini tetap diadakan, MN Pahang sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapinya sementelah pula dengan momentum kemenangan yang diraihnya pada dua PRK lepas yakni di peringkat Parlimen di Cameron Highlands dan peringkat Dewan Negeri di Chini. 

   Kami sebenarnya telah mempunyai ‘winning formula’ yang terbaik dan formula inilah juga insya-Allah, akan terus digunakan kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *