Pengusaha pelancongan Taman Negara mula terjejas

Pengusaha pelancongan Taman Negara mula terjejas

Kerajaan negeri minta pihak berwajib kaji semula penutupan pusat berkenaan

Husin Ibrahim 

fikrahpahang@gmail.com

BENTONG: Tindakan kerajaan menutup Taman Negara berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19 memberi impak terhadap pengusaha pelancongan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, penutupan pusat pelancongan itu bermula 6 Oktober lalu menjejaskan aspek ekonomi kepada pengusaha pelancongan di kawasan Itu dan penduduk tempatan keseluruhannya.

  Menurut Mohd Sharkar, penutupan itu dianggap tidak wajar dan meminta supaya larangan berkenaan dapat dikaji semula. 

  “Pahang bukanlah berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).  

  “Taman Negara sepatutnya boleh dikunjungi pelancong  dari Pahang di samping dari negeri jiran seperti Kelantan, Terengganu atau sejauh Johor,” katanya selepas melancarkan Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik dan Projek Eko Pelancongan Berasaskan Komuniti di Kampung Janda Baik, hari ini.

  Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pahang Dato’ Idros Yahya dan Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar.

  Mohd Sharkar berkata, penutupan Taman Negara sebagai kawasan eko pelancongan mengakibatkan pendapatan dan sumber ekonomi kerajaan negeri dan penduduk tenpatan terutama pengusaha pelancongan terjejas teruk.

  “Tak sepatutnya arahan penutupan itu dikeluarkan (pada peringkat awal) kerana ketika ini kita sedang mempromosikan secara agresif untuk pulihkan kedatangan pelancong yang terjejas teruk semasa berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

  “Sebaik sahaja tempoh PKP tamat dan PKP Pemulihan (PKPP) bermula, kerajaan negeri merancakkan usaha promosi mana mana produk pelancongan di dalam Pahang dan hasilnya kita dapat pulihkan sebahagian besar daripada peluang ekonomi dalam industri ini.

  “Ada tempat dan produk telah kita tambah nilai, perkenalkan semula, perbaharui bentuk pemasarannya di samping  memperkenalkan produk produk baru,” katanya.

  Menurut Mohd Sharkar, hasil daripada usaha prolosi secara bersepadu  membabitkan pelbagai agensi yang terlibat dengan pelancongan, industri berkenaan kembali pulih. 

  “Difahamkan pengusaha pelancongan di Taman Negara kehilangan sumber ekonomi bernilai hampir RM2 juta akibat arahan penutupan Taman Negara.

  “Difahamkan juga seramai 333 pengusaha pelancongan utama di Taman Negara kehilangan sumber pendapatan dan nilai ekonomi akibat arahan penutupan  itu,” katanya.

  Jelasnya, mereka yang kembali aktif memasarkan produk pelancongan selepas PKP dikejutkan oleh arahan penutupan sehingga tempahan diterima terpaksa dibatalkan.

  “Sepanjang tempoh PKP, mereka mengalami suasana perit  akibat ketiadaan pelancong.

  “Bila PKP tamat, mereka kembali beroperasi dengan mematuhi peraturan  atau Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sehingga berjaya meringankan beban kewangan.

  “Mereka juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh di mana semua aktiviti pelancongan akan ditutup pada Disember dan Januari,” katanya.

  Katanya, persiapan itu kini terjejas dengan adanya perintah penutupan Taman Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *