Longgokan sampah cemari Pantai Sepat

Longgokan sampah cemari Pantai Sepat

Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com.my

KUANTAN: Ketika pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusaha untuk memastikan persekitaran Pantai Sepat, di sini bebas sampah, masih ada segelintir pengunjung yang bersikap sebaliknya.
Tindakan individu atau kumpulan tertentu yang membiarkan sampah tanpa membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan selepas melakukan aktiviti riadah tidak sepatutnya berlaku.

Sampah yang bertaburan mencacatkan pemandangan di Pantai Sepat.


Tinjauan di pantai itu mendapati pinggan, botol air dan bungkusan plastik ditinggalkan bertaburan di bawah pokok.
Keadaan itu menunjukkan bahawa sikap segelintir pengunjung yang tidak sensitif terhadap persekitaran ketika semua pihak mahu melihat pantai itu bebas sampah.
Seorang pengunjung, Muhammad Firdaus Kamaruddin dari Bukit Rangin, di sini meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengunjung yang membuang sampah tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar.
Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berkuasa tempatan turut menyediakan tong sampah.
“Saya hairan dengan sikap segelintir masyarakat yang hanya mahu berseronok tanpa mengutamakan kebersihan,” katanya.
Bagi Normala Mohd Ismail, 29, dari Gambang, di sini mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengunjung yang didapati membuang sampah.
“Tindakan itu diharap membantu memastikan persekitaran Pantai Sepat bersih daripada sampah yang ditinggalkan individu atau kumpulan yang tidak prihatin dengan kebersihan,” katanya.

Sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawap di Pantai Sepat


Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal menasihati semua pengunjung supaya mengutamakan kebersihan.
“Sebaiknya segala sampah dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan untuk memastikan persekitaran pantai bersih daripada sampah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *