Nanas sumber pendapatan

Nanas sumber pendapatan

PPRS Pinggiran Putra terima 2,000 anak pokok untuk diusahakan

Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Sebanyak 2,000 anak pokok nanas diperuntukkan kepada
penduduk Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini, bertujuan menggalakkan penduduk menceburi bidang pertanian.
Pemberian anak pokok nanas itu adalah inisiatif Majlis Perbandaran
Kuantan (MPK) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas
Malaysia (MPIB) Pahang dalam usaha membantu penduduk PPRS
Pinggiran Putra melakukan aktiviti sampingan dan mengisi masa
lapang.


Yang Dipertua MPK, Dato’ Hamdan Hussin berkata, pembabitan
penduduk dalam penanaman nanas bukan sahaja mendapat pelbagai
manfaat, malah mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan mereka.
Katanya, penduduk boleh menjana pendapatan sekiranya projek
tanaman itu berjaya.
“MPK sedia membantu peserta termasuk memasarkan nanas sebagai
sumber pendapatan mereka melalui Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA).
“Buat permulaan, tanaman nanas ini hanya untuk kegunaan
sendiri dan sekiranya projek ini berjaya, MPK akan menambah kawasan tapak projek yang lebih luas.
“Setakat ini, kita memberikan 2,000 anak pokok dan akan sentiasa memantau untuk memastikan tanaman nanas ini mencapai objektif,” katanya selepas menghadiri Program Menanam Anak Pokok Nanas di PPRS Pinggiran Kota, hari ini.
Hamdan berkata, projek penanaman nanas itu juga termasuk dalam
Program Kebun Komuniti PPRS Pinggiran Putra yang diusahakan
penduduk sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, Program Kebun Komuniti itu turut membabitkan tanaman
sayur dan herba dalam usaha menggalakkan penduduk setempat
membabitkan diri dalam bidang pertanian.
“Penduduk tidak perlu lagi membeli jika tanaman yang
diusahakan berhasil, malah turut menjimatkan wang mereka ketika
keadaan ekonomi yang terjejas berikutan penularan COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *