Usaha jaga adik berbalas

Usaha jaga adik berbalas

Penuntut terima Anugerah Dekan enam kali berturut-turut sempena Majlis Konvensyen UCYP dan KYP

Mohd Rafi Mamat
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Dilahirkan dalam keluarga besar dan pengalaman membantu menjaga adik beradik menjadi kelebihan untuk merangkul enam Anugerah Dekan berturut-turut.
Pengalaman berharga itu membolehkan Nur Fatinhani Muhamad Rizuan meraih Anugerah Tuanku Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) sempena Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) di Dewan UCYP Kampus Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.

Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Seri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) kepada Nur Fatinhani Muhamad Rizuan pada Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) di dewan UCYP kampus Tanjung Lumpur. Gambar Mohd Rafi Mamat


Menurut Nur Fatinhani, 22, minat mendalam kepada kanak-kanak menjadi pendorong kuat kepadanya untuk mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak hingga berjaya meraih Anugerah Dekan setiap semester.
Katanya, kehidupan dalam keluarga besar selain terpaksa menjaga adik turut menjadi kelebihan kepadanya menghayati tugas sebenar sebagai pengasuh kanak-kanak yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran tinggi.
“Selain minat, disiplin dalam mengulang kaji pelajaran juga menjadi rahsia kejayaan.
“Setiap hari saya teringat pengorbanan dan harapan menggunung mak dan ayah untuk melihat saya berjaya dalam bidang akademik,” katanya.
Terdahulu, anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur.
Menurut Nur Fatinhani yang berasal dari Kampung Luit, Maran, kejayaan membanggakan itu diharap dapat membalas jasa dan pengorbanan ibunya, Yusmawati Che Mat, 44, dan ayah, Muhamad Riduan Ismail, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori.
Sementara itu, bagi Penerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Menteri Besar Pahang, Mohammad Amirul Amrin Mohd Othman, 22, mengakui tidak menyangka menerima anugerah berkenaan yang begitu bererti.

Nur Fatinhani Muhamad Rizuan menerima Anugerah Tuanku Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) bersama Mohammad Amirul Amrin Mohd Othman (kiri) yang menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Menteri Besar Pahang pada Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) di dewan UCYP kampus Tanjung Lumpur.
Gambar oleh Mohd Rafi Mamat


“Saya tidak menyesal belajar di peringkat Diploma Pengurusan Teknologi apabila akhirnya berjaya meraih anugerah yang tercatat sejarah dalam hidup.
“Walaupun keluarga tidak dapat hadir namun saya tetap gembira kerana dapat membalas jasa ayah dan ibu yang banyak membantu,” katanya yang kini bertugas di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *