Negara di ambang darurat?

Negara di ambang darurat?

Proklamasi darurat dibuat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan

Kuala Lumpur: Situasi politik semasa yang bergolak selain ancaman pandemik COVID-19 semakin menular menyebabkan timbul spekulasi kerajaan akan melaksanakan darurat demi keselamatan rakyat.
Keadaan ini diperkuatkan lagi sebaik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin selesai bertemu beberapa menteri kanan di Putrajaya, pagi ini, sebelum ke Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.
Memetik laman sosial Facebook Harian Metro, pelaksanaan darurat politik di negara ini memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong meneruskan pentadbiran kerajaan.
Baginda akan mendapatkan nasihat Perdana Menteri sama ada Kabinet sedia ada dikekalkan, ditukar atau pelantikan baharu dan keputusan akan dibuat mengikut kesesuaian pada hemat Seri Paduka.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, keadaan itu boleh berlaku apatah lagi dalam keadaan kerajaan mungkin meramalkan kesukaran untuk dapatkan kelulusan belanjawan yang dibentangkan di parlimen pada 6 November ini.
“Ia akan beri kesan kepada kestabilan kerajaan kerana kerajaan dikatakan ada 113 undi. Kalau ada dua atau tiga orang ahli parlimen yang tidak sokong, maka bajet tidak dapat diluluskan.
“Jika itu berlaku, ia akan menimbulkan suasana yang tidak stabil bahawa kerajaan tak dapat sokongan majoriti,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, darurat boleh berlaku dengan tiga keadaan iaitu keselamatan dan keamanan awam, ketenteraman awam dan kesejahteraan ekonomi.
“Kalau ada elemen yang mendatangkan kemudaratan kepada aspek ini, keperluan kepada perlunya darurat mungkin timbul.
“Kabinet boleh mengesyorkan saja manakala proklamasi darurat akan dibuat Seri Paduka mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, persepsi mengatakan darurat akan menyebabkan pentadbiran diambil alih tentera perlu diperbetulkan kerana jentera kerajaan akan berjalan seperti biasa.
“Kita bukannya ada isu keselamatan dan ekonomi, ia cuma isu politik. Jadi pentadbiran akan berjalan seperti biasa dengan diketuai Seri Paduka yang mendapat nasihat daripada Kabinet.
“Sidang parlimen masih boleh berjalan seperti biasa, malah belanjawan juga boleh diteruskan. Atau yang kedua, Seri Paduka boleh menangguhkan sidang parlimen, namun perlu ada mekanisme lain untuk meluluskan belanjawan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *