JAS Pahang kutip 5 tan perkakas elektrik terbuang

JAS Pahang kutip 5 tan perkakas elektrik terbuang

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Sebanyak 5 tan metrik buangan perkakas elektrik dan elektronik (e-waste) dikumpulkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang di seluruh negeri ini setakat ini.
Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud, berkata pengumpulan itu dilakukan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 yang antara lain bertujuan memupuk dan meningkatkan keprihatinan serta tanggungjawab awam memelihara selain memulihara alam sekitar.
Beliau berkata, kempen itu juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman awam mengenai sistem pengurusan e-waste.
“Menerusi kempen ini juga, JAS berhasrat memastikan pengurusan dan pengumpulan e-waste dapat dilaksanakan berdasarkan Environmentally Sound Management (ESM).
“Lokasi kempen ini dijalankan adalah di sekitar Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Rompin, Temerloh dan Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) Sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang di Kampung Parit Engku Dato, di sini, hari ini.
Menurutnya, JAS Pahang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan beberapa pihak lain terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan serta rakan strategik jabatan berkenaan.
“Selain kempen ini, JAS Pahang menganjurkan beberapa program lain sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020, antaranya pemeriksaan dan ceramah kesihatan untuk kakitangan; pertandingan fotografi atas talian untuk warga Pahang dan kuiz online dengan kerjasama Pahang FM,” katanya.

One thought on “JAS Pahang kutip 5 tan perkakas elektrik terbuang

  1. Syabas Jabatan Alam Sekitar pelancaran kempen ini amat bermanafaat bagi kelestarian kesucian alan Sekitar Kita..moga alam Kita lebih sihat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *