Tok Gajah layak ke Piala Malaysia

Tok Gajah layak ke Piala Malaysia

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

PAHANG layak untuk bertanding di TM Piala Malaysia 2020 selepas menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan ketujuh.
Skuad Tok Gajah yang mengumpul 14 mata daripada 11 perlawanan, akan bertarung dengan 15 pasukan lain iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak, Selangor, Kedah, Melaka, Terengganu FC, PJ City FC, Felda United FC, Sabah FA, UiTM FC, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan FA, Kelantan United dan Kuching FA untuk merebut Piala Malaysia bagi edisi ke-94.
Malaysian Football League (MFL) sebelum ini membuat keputusan untuk meminda tarikh saingan TM Piala Malaysia berikutan situasi semasa penularan pandemik COVID-19.

Kuantan Oktober 2020- Pertahanan Pahang FC, Herold Goulon (tengah) ketika menjalani latihan di Padang Taman Gelora menjelang saingan Piala Malaysia 2020- Gambar dari Pahang FC


Dengan undian TM Piala Malaysia bakal diadakan pada 1 November 2020, sepak mula saingan TM Piala Malaysia yang pada awalnya dijadual pada 25-26 Oktober, terpaksa ditunda ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November depan.
Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dibuat selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Kuantan Oktober 2020- Penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme menjalani latihan di Padang Taman Gelora menjelang saingan Piala Malaysia 2020- Gambar dari Pahang FC


Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, berkata perancangan jadual baharu TM Piala Malaysia 2020 akan mengambil kira perkara berkaitan tarikh Liga Juara-Juara (ACL) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membabitkan pasukan JDT bermula 19 November 2020 sehingga 4 Disember 2020.
Tarikh sepak mula kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berlangsung pada 6, 7 dan 8 November 2020 bermula dengan pusingan pertama 16 pasukan disusuli 12 dan 13 November 2020 (suku akhir), 17 November 2020 (separuh akhir) serta aksi final pada 22 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *