YaPEIM bantu ringan beban penuntut

YaPEIM bantu ringan beban penuntut

1,000 penuntut B40 lima IPT terima keperluan harian

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Pahang menyediakan peruntukan RM54,000 bagi membantu 1,000 penuntut B40 di lima institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.
Pengurusnya, Nor Khalilah Hanim Abdul Hamid berkata, lima IPT terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kampus Kuantan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Seramai 110 hingga 290 penuntut di setiap IPT berkenaan menerima bantuan.
Menurutnya, setiap penuntut terpilih menerima bantuan keperluan harian berupa makanan seperti biskut dan minuman berkhasiat yang dapat meringankan perbelanjaan mereka daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.
“YaPEIM sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan penuntut yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah. Golongan terbabit perlu dibantu bagi memastikan tumpuan belajar mereka tidak terjejas.
“Setiap tahun bantuan diagihkan kepada penuntut yang belajar di IPT di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Replika Cek dan Sumbangan kepada penuntut B40 UIAM kampus Kuantan di Banquet Hall UIAM kampus Kuantan.
Hadir sama, Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Kamaruzzaman Yunus.
Seramai 290 penuntut UIAM kampus Kuantan menerima bantuan berkenaan.
Beliau berkata, tahun lalu YaPEIM Pahang memberi bantuan kepada 250 penuntut UIAM kampus Kuantan dan sumbangan itu diteruskan pada tahun ini berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara kini turut membebankan golongan penuntut.
Nor Khalilah Hanim berkata, pihaknya turut memberi bantuan keperluan harian kepada golongan memerlukan ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri ini.
Sementara itu Dr Kamaruzzaman berkata, pihaknya berterima kasih kepada YaPEIM Pahang yang tampil memberi bantuan kepada penuntut UIAM kampus Kuantan.
“Bantuan yang diberikan dapat meringankan beban penuntut,” katanya.

Pengurus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Pahang Nor Khalilah Hanim Abdul Hamid (kiri) dan Pengarah Kampus UIAM kampus Kuantan Prof Dr Kamaruzzaman Yunus (tengah) pada Majlis Penyerahan Replika Cek dan Sumbangan kepada penuntut B40 UIAM kampus Kuantan di Banquet Hall UIAM kampus Kuantan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *