JPNP sasar tanam 1.2 juta pokok tahun ini

JPNP sasar tanam 1.2 juta pokok tahun ini

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Bahagian Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyasarkan untuk menanam lebih 1.2 juta pokok pelbagai spesies membabitkan kawasan seluas
10,195.27 hektar di negeri ini, tahun ini.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata sepanjang tahun lalu pihaknya berjaya menanam sebanyak
962, 443 pokok membabitkan kawasan seluas lebih 11,577.64 hektar.
Menurutnya, selain tanaman pesisir pantai projek utama yang diusahakan membabitkan tanaman kawasan hutan yang diceroboh, bekas kawasan pembalakan berlesen, tapak matau atau tempat menyimpan balak dan petak pemuliharaan.

Peserta menanam pokok kelapa pada Program Gotong-Royong Menanam Pokok di pesisir pantai Tanjung Batu. Sebanyak 2,500 pokok ru dan kelapa ditanam sempena program berkenaan. Foto Mohd Imran Izzad


Katanya, setiap tahun juga diadakan program menghijaukan kawasan pusat pelancongan termasuk sekolah menerusi aktiviti tanggungjawab sosial dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pusat pengajian tinggi.
“Dalam tempuh 10 bulan tahun ini beberapa program penanaman spesies
balak berskala besar dilakukan di beberapa kawasan seperti di Hutan Simpan Chini, Pekan dan Hutan Simpan Berkelah, Maran.
“Usaha memulihkan bekas kawasan kebun sayur dan bunga haram di Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands turut dilakukan sebelum ini dan hasilnya kini amat membanggakan apabila pokok spesies damar minyak, meranti rampai daun, merawan siput jantan dan geruk kini hidup subur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Gotong-Royong Menanam Pokok di pesisir pantai Tanjung Batu yang sempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang,
Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, di sini.
Hadir sama Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin.
Program kerjasama JPNP dengan Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-B1 membabitkan aktiviti menanam sebanyak 2,500 pokok ru dan kelapa membabitkan kawasan seluas enam hektar. Lebih 150 peserta terdiri penduduk setempat, pelajar sekolah, kakitangan JPNP dan ahli Kelab Lions Antarabangsa menyertainya.
Samsu Anuar berkata, program menanam pokok diadakan setiap tahun yang dilakukan secara gotong-royong dan kontraktor dilantik jabatan akan memantau semua projek bagi memastikan kejayaanya.
“Program penanaman pokok ru, ketapang, bintangor laut dan kelapa turut dilakukan dipesisir pantai di daerah ini, Kuantan dan Rompin. Ia bertujuan mengurangkan hakisan selain sebagai peneduh,” katanya.
Sementara itu Mohammad Fakhruddin berkata, program menanam semula pokok perlu dilakukan secara berterusan bagi menghijaukan kawasan selain untuk tuduhan dan menghalang hakisan.
“Semua pihak perlu menyokong dan membantu JPNP menjalankan aktiviti menanam pokok, saya lihat kini terdapat beberapa NGO yang begitu aktif menjalankan program berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *