Projek nanas lima peserta B40 beri pulangan setengah juta ringgit.

Projek nanas lima peserta B40 beri pulangan setengah juta ringgit.

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Kuantan menyasarkan sebanyak setengah juta ringgit hasil nanas dapat dikeluarkan menerusi projek kelompok nanas Felda Lepar Hilir Dua, di sini.
Pegawainya Amir Dzulfadli Samad berkata, projek nanas seluas lebih lapan hektar diusahakan oleh lima peserta B40 yang terdiri daripada anak peneroka Felda Lepar, mula diusahakan akhir tahun lalu dan kini mula mengeluarkan hasil.
Menurutnya, selain khidmat nasihat, bantuan input pertanian turut diberikan kepada setiap peserta dalam usaha mengurangkan kos menguruskan ladang. Sokongan Lembaga Perindustrian Nanas (LPN) Pahang pula melancarkan lagi projek berkenaan.

Pegawai Pertanian Daerah (PPD) Kuantan Amir Dzulfadli Samad (empat dari kanan) bersama peserta projek kelompok nanas Felda Lepar Hilir Dua pada program Hari Peladang dan Penyerahan Bantuan B40 Tanaman Kontan Projek Nanas Lepar Hilir Dua.


Katanya, projek pertama berskala besar di daerah ini membabitkan lima jenis nanas terkenal di negara ini yang mendapat permintaan tinggi iaitu MD2, Sarawak, Morris, Yankee dan Josapine yang mengambil masa 12 hingga 14 bulan untuk mengeluarkan hasil pertama.
“Saya berpuas hati dengan kejayaan projek kelompok nanas Felda Lepar Hilir Dua yang akan mengeluarkan hasil akhir bulan ini. Semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan lima peserta B40 amat membanggakan. Walaupun baru kali pertama terbabit dalam bidang pertanian, kejayaan sudah dapat dilihat.
“Sebelum ini peserta diwajibkan untuk mengikuti kursus jangka pendek teknik menanam nanas yang dikendalikan LPN Pahang, pemantauan secara berterusan oleh dua agensi berkaitan mencetuskan kejayaan pada projek berkenaan,” katanya pada program Hari Peladang dan Penyerahan Bantuan B40 Tanaman Kontan Projek Nanas Lepar Hilir Dua, di sini.
Peserta projek terbabit menerima bantuan benih tebu,
keledek, baja organik, baja foliar, plastik batas, pump galas berenjin, racun tikus, telaga tiub dan tangki air.
Sementara itu bagi Abd Razak Abd Jalil 42, bimbingan yang diberikan LPN Pahang dan PPD Kuantan menjadi pencetus kepada kejayaan projek tanaman nanas yang diusahakan akhir tahun lalu.
“Peringkat awal saya mengalami kerugian berikutan benih nanas mati disebabkan musim hujan yang berlarutan, saya terpaksa membuat tanaman semula bagi menggantikan pokok yang mati.
“Saya menanam nanas secara campuran membabitkan jenis MD2, Yankee dan Josapine sebanyak 22,500 pokok dengan modal RM12,000. Harga benih yang tinggi membebankan pekebun walaupun mendapat subsidi 15 sen setiap pokok.
“Saya berharap projek perintis ini berakhir dengan kejayaan membanggakan, aktiviti jualan hasil akan dilakukan secara terus kepada pengguna selain pemborong,” katanya yang turut mengusahakan bengkel besi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *