Darurat demi pertahan jawatan?

Darurat demi pertahan jawatan?

Impak pengisytiharan darurat akan memburukkan lagi ekonomi negara

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com
foto oleh Mustaffa Kamal

INDERA MAHKOTA: Jangan jadikan penularan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk isytihar darurat, tegas Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid.
Beliau berkata demikian mengulas langkah rombongan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di sini, Jumaat lalu.
Mustaffar Kamal berkata, pengisytiharan darurat hanya akan memburukkan lagi situasi ekonomi negara yang kini terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
“Meskipun penularan COVID-19 semakin buruk selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) di Sabah, baru-baru ini, kita mempunyai kemampuan dan SOP (prosedur operasi standard) serta PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di kawasan zon merah untuk menanganinya
“Tetapi sekiranya darurat, ekonomi kita terutama rakyat bawahan akan terjejas teruk. Pelabur akan lari ke negara lain yang mempunyai kerajaan lebih stabil,” katanya kepada Fikrah Pahang, di sini, hari ini.
Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.
Baginda juga berpendapat bahawa tiada perlunya mana-mana Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
Mengulas lanjut, Mustaffar Kamal berkata, beliau berpendapat cadangan untuk mengisytiharkan darurat sebenarnya berikutan terdapat beberapa individu bimbang kehilangan kuasa.
“Politik hari ni bercelaru, politik Melayu hancur dan berpecah-belah akibat mereka yang rakus kuasa merebut jawatan tertinggi perdana menteri.
“Sepatutnya kita fikirkan dahulu kepentingan rakyat, bukan membebankan lagi mereka dengan pengisytiharan darurat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *