Lapan individu dapat hidayah peluk Islam serentak

Lapan individu dapat hidayah peluk Islam serentak

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

PEKAN: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Pekan mengadakan majlis melafazkan syahadah yang disertai lapan individu termasuk lima sekeluarga di Kompleks Baitul Rahah.
Pegawai MUIP Cawangan Daerah Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, pada program berkenaan turut diadakan acara penikahan dua pasangan saudara baharu masyarakat Orang Asli serta penyampaian bantuan kewangan.

PEKAN- Pada majlis melafazkan syahadah turut diadakan acara penikahan dua pasangan saudara baharu masyarakat Orang Asli di Kompleks Baitul Rahah. Gambar/Mohd Imran Izzad


Menurutnya, lapan saudara baharu terbabit masing-masing menerima bantuan kewangan antara RM300 hingga RM500 disediakan MUIP sebagai sokongan kepada mereka selain untuk meringankan beban keluarga, selama tujuh tahun bantuan disediakan.
Turut disediakan bantuan hari raya.
Katanya, usaha mengislamkan masyarakat Orang Asli di daerah ini dilakukan secara berterusan oleh MUIP dengan sokongan pelbagai agensi lain, hampir setiap tahun majlis melafazkan syahadah dianjurkan di kawasan penempatan mereka.
“Selepas mereka memeluk Islam usaha memberi pendidikan agama dilakukan oleh pendakwah atau penggerak masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Guru Briged Dakwah secara berterusan disetiap kawasan penempatan mereka terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman daerah ini.
“Kita akan memastikan semua saudara baharu terus mendapat pendedahan ilmu agama secara berterusan oleh guru agama, peringkat awal mereka diajar fardu ain seperti cara solat, menyucikan diri, perkara dilarang Islam dan berpuasa,” katanya.
Majlis melafazkan syahadah dianjurkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Pekan disaksikan Pegawai Agama Islam Daerah Pekan Mohd Aris Jamin Al-Hafiz.
Program berkenaan mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Daerah Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Pekan dan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Daerah Pekan.
Muhammad Hafidz berkata, sebelum ini pihaknya pernah mengadakan program berkhatan khusus untuk kanak-kanak masyarakat Orang Asli Islam di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan.
“Saya mengingatkan kepada masyarakat OrangAsli di daerah ini yang ingin memeluk Islam boleh terus berhubung dengan MUIP termasuk JAKOA, kita akan menguruskan proses mengislamkan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *